Lapan maut bot terbalik di Kalimantan
KALIMANTAN, 13 Rabiulakhir 1439H, Isnin – Sekurang-kurangnya lapan orang mati dan beberapa yang lain hilang selepas bot penumpang terbalik di pantai Kalimantan, hari ini.
Pegawai kanan agensi pencarian dan menyelamat tempatan, Gusti Anwar Mulyadi, berkata, feri itu membawa kira-kira 45 orang dan tenggelam hanya beberapa minit setelah meninggalkan Tanjung Selor di wilayah Kalimantan Utara.
“Seramai 33 orang telah diselamatkan dan anggota tentera laut dihantar untuk mencari penumpang lain, tetapi gelombang yang kuat menghalang operasi.
“Kami tidak tahu apa yang telah menyebabkan kemalangan itu dan bagaimana sebenarnya ia berlaku, tetapi kami akan mencuba mengenalpasti dan kini menumpukan perhatian kepada penumpang lain,” kata Mulyadi kepada AFP.
Ia adalah kemalangan bot terbaru di kepulauan Indonesia yang banyak bergantung kepada bot untuk mengangkut orang di sekitar kira-kira 17,000 pulau di negara seberang itu.
Julai lalu, lapan orang tenggelam dalam kemalangan bot di laluan yang sama dari Tarakan ke Tanjung Selor.
Pada awal tahun lepas, sekurang-kurangnya 23 orang meninggal ketika kapal pelancong dari Jakarta meletup.
Ia membawa kira-kira 250 pelancong tempatan untuk meraikan Tahun Baru di pulau Tidung berhampiran Jakarta. – Agensi
The post Lapan maut bot terbalik di Kalimantan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan