Majlis Peguam tidak profesional gagal hadiri pembukaan Tahun Kehakiman 2018
KUALA LUMPUR, 24 Rabiulakhir 1439H, Jumaat – Kegagalan Majlis Peguam Malaysia menghadiri Pembukaan Tahun Kehakiman 2018 yang berlangsung hari ini disifatkan sebagai tidak profesional dan hanya memberi imej buruk kepada organisasi itu yang dianggotai 17,000 pengamal undang-undang di Semenanjung Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Majlis Peguam sepatutnya menyertai majlis itu yang dianjurkan setiap tahun sejak 2010 dan menjadi tradisi kalangan semua pengamal undang-undang seluruh negara.
“Badan Kehakiman ini juga menunjukkan mereka tidak menghormati satu daripada cabang Persekutuan Negara.
“Majlis Peguam Malaysia seharusnya menunjukkan contoh terbaik kepada pengamal undang-undang di negara ini, kerana ketidakhadiran mereka memberi imej yang buruk kepada oraganisasi itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menegur Majlis Peguam yang sepatutnya berpegang kepada profesionalisme yang tinggi dan tidak terikat dengan apa-apa pegangan peribadi.
“Alasan yang diberikan oleh Majlis Peguam Malaysia untuk tidak hadir ke majlis ini amatlah tidak berasas kerana pada tahun ini selain Majlis Peguam Malaysia, Peguam Negara juga tidak berucap namun tetap hadir ke majlis yang bermakna ini, malah Pertubuhan Undang-Undang Sabah dan Persatuan Peguambela Sarawak turut hadir ke majlis hari ini.
Sementara itu, Azalina menyambut baik ucapan Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif pada pembukaan majlis itu.
Menurutnya, kerajaan hari ini begitu terbuka dalam melaksanakan pelbagai transformasi perundangan di samping memastikan rakyat mendapat akses terbaik kepada keadilan.
“Terima kasih atas komitmen yang diberikan oleh Badan Kehakiman terhadap usaha-usaha yang dibawa oleh kerajaan terutamanya dalam memastikan kes yang didaftarkan di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak diselesaikan dengan cepat selain meneruskan sistem E-Kehakiman untuk memudahkan proses dalam perkhidmatan kehakiman.
Usaha-usaha ini selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa memberi keutamaan tinggi transformasi perundangan dalam negara,” katanya. – Bernama
The post Majlis Peguam tidak profesional gagal hadiri pembukaan Tahun Kehakiman 2018 appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan