Malaysia berdiri teguh bersama Arab Saudi dalam semangat perpaduan berhubung serangan


KUALA LUMPUR, 6 Jamadilawal 1439H, Selasa – Malaysia berdiri teguh bersama Arab Saudi dalam semangat perpaduan dan bertekad dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan negara beraja itu, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, apa-apa yang mengancam negara itu hanya akan mencetuskan ketidakstabilan di rantau tersebut dan ummah secara keseluruhan.

“Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan (serangan peluru berpandu oleh puak Houthi Yaman ke atas bandar-bandar di Arab Saudi). Kami terkejut dan marah terhadap tindakan pencerobohan ini yang secara terang-terang tidak menghormati langsung kesucian tempat-tempat suci ini.

“Dengan menyasarkan Kota Suci Mekah, mereka benar-benar mencabuli teras kepercayaan kita. Niat mereka ialah untuk menyerang Kota Suci adalah sama seperti melanggar rukun Islam yang menjadi tiang agama,” kata Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau menyampaikan ucapan itu di Jeddah semalam pada Mesyuarat Tergempar Menter-menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam yang diadakan untuk mengambil tindakan segera terhadap serangan peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh puak Houthi.

Pertahanan udara Arab Saudi dilaporkan telah menangkis peluru berpandu balistik yang ditembak oleh puak Houthi Yaman ke atas Makkah pada 28 Julai dan Riyadh pada 19 Disember tahun lepas.

Pakatan tentera yang diketuai oleh Arab Saudi dipetik dalam laporan berita sebagai berkata serangan tersebut boleh meningkatkan perang proksi antara negara beraja itu dan Iran.

Hishammuddin menyifatkan serangan ke atas Riyadh dan Makkah sebagai terang-terang mencabuli kedaulatan Arab Saudi sambil menambah ia juga menimbulkan ancaman terhadap keamanan dan keselamatan, serantau dan global.

Beliau juga berkata Malaysia amat bimbang terhadap laporan yang menyatakan bahawa Iran membekalkan peluru berpandu balistik kepada puak Houthi.

“Oleh itu, adalah penting untuk mengamalkan pendirian tidak campur tangan dan tiada negara membekalkan puak Houthi Yaman dengan peluru berpandu balistik yang mengancam untuk menghancurkan perpaduan ummah kita,” kata beliau. – Bernama

The post Malaysia berdiri teguh bersama Arab Saudi dalam semangat perpaduan berhubung serangan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian