Malaysia tandatangani perjanjian dengan firma AS cari MH370
BANGI, 22 Rabiulakhir 1439H, Rabu – Malaysia secara rasmi menggunakan khidmat Ocean Infinity, sebuah firma penerokaan dasar laut Amerika Syarikat (AS) untuk mengesan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dilaporkan hilang sejak 2014.
Perkara itu diputuskan dalam satu perjanjian yang ditandatangani kerajaan Malaysia dan Ocean Infinity Limited di pejabat Kementerian Pengangkutan hari ini.
Memetik The Star, ia adalah perjanjian yang ditandatangani berdasarkan tawaran diberikan oleh firma berkenaan pada Ogos lalu.
Ocean Infinity adalah salah satu daripada tiga syarikat yang telah menawarkan khidmat mereka untuk meneruskan operasi menyelamat MH370 berdasarkan konsep ‘tiada penemuan, tiada bayaran’.
Firma berkenaan dijangka memulakan operasi mencari pada pertengahan bulan ini, membabitkan sebuah kapal kapal berteknologi tinggi, Seabed Constructor.
MH370 hilang secara misteri di perairan Laut China Selatan dekat Vietnam pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan rutin dari Kuala Lumpur ke Beijing, China dengan membawa 239 penumpang dan kru.
Analisis data radar dan satelit komunikasi antarabangsa mendapati ada orang di dalam kapal terbang itu mungkin sengaja mematikan transponder atau alat penjejak pesawat sebelum melencongkannya ke Lautan Hindi.
Kerajaan Australia, Malaysia dan China menghentikan misi pencarian pesawat tersebut selama dua tahun yang menelan belanja AS$159.16 juta, pada Januari lalu, walaupun dibantah oleh waris mangsa.
Tahun lalu, Australia dan Malaysia menolak cadangan penyiasat untuk memperluaskan pencarian ke kawasan seluas 25,000 kilometer persegi di utara dari kawasan pencarian asal di selatan Lautan Hindi.
The post Malaysia tandatangani perjanjian dengan firma AS cari MH370 appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan