Media sosial ubah masyarakat jadi individualistik
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
PUTRAJAYA, 22 Rabiulakhir 1439H, Selasa – Media sosial secara tanpa disedari telah memupuk insan zaman sekarang bersikap lebih individualistik serta menjauhi masyarakat, kata Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kassim.
Beliau berkata, kehidupan yang banyak bergantung kepada media baharu menjadikan masyarakat tidak lagi mempedulikan hal orang lain, malah berasa janggal apabila ada pihak yang masuk campur dalam urusan peribadinya.
Katanya, pergantungan masyarakat antara satu sama lain juga semakin berkurangan kerana mereka mempunyai semua keperluan material tanpa memerlukan sokongan dan bantuan orang lain.
“Hal ini telah menyuntik sifat individualistik yang akhirnya, kehidupan mereka tidak memerlukan kepada orang lain dan mereka tidak menghiraukan apa pun tanggapan masyarakat terhadap mereka.
“Ini berbeza dengan masyarakat tradisional yang hidup susah dan banyak bergantung dengan orang lain. Mereka cukup khuatir dengan persepsi buruk dan respons negatif masyarakat terhadap diri dan keluarga mereka. Bagi masyarakat ini, antara ungkapan yang sering berlegar ialah ‘apa orang kata’ dengan maksud khuatir sekiranya ada perkara salah yang mereka lakukan.
“Sebaliknya, dalam masyarakat moden yang individualistik, ungkapan yang kita sering dengar ialah ‘ada aku kisah’ dan ‘ikut suka aku’ biarpun pelik dan bercanggah dengan nilai masyarakat,” katanya membentangkan kertas kerja di Multaqa Dakwah dan Pemikiran Islam anjuran Majlis Perundingan Islam (MPI) di sini, hari ini.
Beliau berkata, media baharu adalah salah satu teknologi komunikasi masa kini yang sepatutnya membantu manusia hidup dalam keadaan yang lebih bahagia.
Kehadiran teknologi ini, katanya, tidak sepatutnya menjadikan kehidupan manusia bergantung penuh dengannya yang akhirnya menyebabkan manusia menjadi robot.
“Kebahagiaan manusia adalah apabila mereka menghargai manusia di sekeliling, bukan dengan mendakap kemas teknologi kerana ia adalah alat. Justeru, persepsi manusia terhadap teknologi perlu diperbetulkan kerana ia lahir dari minda bawah sedar,” katanya.
Penganjuran Multaqa Siri Keempat ini diadakan selari dengan tema Transformasi Dakwah dan Pemikiran Islam. Ianya menghimpunkan para ulama dan umara yang menjadi medium untuk berbincang mengenai dakwah dan pemikiran Islam di tanah air.
The post Media sosial ubah masyarakat jadi individualistik appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan