Menyelar Siti Kasim menyebarkan salah faham terhadap Islam dan keputusan Mahkamah Syariah Persekutuan Pakistan berhubung perbuatan meminum arak
BARU sahaja saya menulis bidasan terhadap dakwaan Siti Kasim bahawa kononnya RUU355 menjahanamkan orang Melayu, terkini melalui Facebook beliau, menyebarkan salah faham terhadap ajaran Islam dan keputusan Mahkamah Syariah Persekutuan atau Federal Shariat Court di Pakistan berhubung kesalahan meminum arak dan hukuman sebat.
Di dalam posting Facebook pada 31 Disember 2017, yang telah mendapat 251 “Like” , 17 “Haha”, 10 “Love” dan 30 “Share”, setakat tulisan ini diterbitkan, Siti Kasim menulis “Old news but still relevant to us” dan memetik satu kenyataan daripada sebuah artikel atau berita yang dikongsi beliau bertajuk “Drinking liquor is not Haram – Federal Shariat Court” yang diterbitkan pada 28 Julai 2011 di laman web Pakistan Defence yang berbunyi “…….hearing the arguments that the Holy Quran asks Muslims to stay away from liquor but does not specifically declares it Haram, or prohibited.” disamping Siti Kasim menulis bahawa “So, challenged if you are being prosecuted for this”.
Daripada kenyataan beliau, petikan dan tajuk serta kandungan artikel yang dikongsi oleh Siti Kasim tersebut, dapat difahami secara konteks bahawa:
1. Pertama, kononnya Mahkamah Syariah Persekutuan Pakistan, yang terdiri daripada YA Hakim Dr. Fida Muhammad Khan, YA Ketua Hakim Haziqul Khairi dan YA Hakim Salahuddin Mirza menurut artikel tersebut, telah:
a. memutuskan bahawa perbuatan meminum arak adalah tidak haram di sisi Islam; dan
b. memutuskan bahawa sebatan bagi kesalahan meminum arak adalah tidak Islamik;
2. Kedua, kononnya keputusan, hujahan, fahaman atau prinsip yang menjurus ke arah keputusan Mahkamah Syariah Persekutuan Pakistan tersebut berguna, bermanfaat, “relevant”, atau “persuasive” untuk:
a. mencabar sebarang pendakwaan ke atas kesalahan jenayah syariah iaitu meminum arak, yang kononnya tidak haram di sisi Islam, di bawah peruntukan enakmen jenayah syariah negeri-negeri ataupun wilayah-wilayah persekutuan;
b. mencabar sabitan kesalahan atau keputusan Mahkamah Syariah Malaysia akibat perbuatan meminum arak yang kononnya tidak haram di sisi Islam;
c. mencabar hukuman sebat yang dikenakan oleh Mahkamah Syariah Malaysia kerana kononnya hukuman sebat itu tidak Islamik.
Berikut adalah maklum balas saya terhadap posting Facebook Siti Kasim tersebut:
KESAHIHAN ARTIKEL/BERITA YANG DIRUJUK
1. Siti Kasim sepatutnya bersikap bertanggungjawab untuk membuat semakan terhadap kesahihan berita atau artikel tersebut kerana ia melibatkan soal halal dan haram, dosa dan pahala agar tidak menimbulkan fitnah terhadap mana-mana pihak, sama ada Mahkamah Syariah Persekutuan Pakistan, ketua hakim dan para hakim dalam kes tersebut, institusi kehakiman syariah Pakistan, undang-undang syariah Pakistan, kerajaan Pakistan, atau negara Pakistan sendiri, ataupun menimbulkan fitnah, prejudis, atau salah faham terhadap Islam, sumber ajaran Islam iaitu al-Quran dan as-Sunnah, dan umat Islam atau bukan Islam, sama ada di negara kita Malaysia mahupun seluruh dunia yang boleh terkesan atau terkait akibat posting, konteks serta maksud posting beliau.
2. Dengan hanya merujuk kepada kenyataan yang dipetik oleh Siti Kasim daripada artikel tersebut, ia menyebut bahawa Mahkamah Syariah Persekutuan Pakistan hanya mendengar hujahan betapa walaupun al-Quran dan as-Sunnah meminta umat Islam untuk menjauhi arak, al-Quran dan as-Sunnah tidak secara khusus atau jelas mengisytihar bahawa meminum arak itu adalah haram di sisi Islam.
3. Walaupun Mahkamah Syariah Persekutuan Pakistan mendengar hujahan tersebut, ia tidak semestinya bermaksud Mahkamah Syariah Persekutuan Pakistan menerima hujahan tersebut dan membuat keputusan selari dengan hujahan tersebut sehingga mengisytiharkan bahawa meminum arak itu tidak haram di sisi Islam ataupun hukuman sebat bagi kesalahan tersebut adalah tidak Islamik.
4. Akibat kegagalan, kecuaian atau sikap sambil lewa Siti Kasim, walaupun beliau seorang peguam dalam bidang profesional dan merupakan seorang ahli Majlis Peguam yang baharu dilantik semula, sudah tentu Siti Kasim tidak akan mendapati bahawa tajuk dan kandungan artikel tersebut sebenarnya adalah jauh terpesong dan menyeleweng daripada penghakiman yang dibuat oleh Mahkamah Syariah Persekutuan Pakistan bertarikh 28 Mei 2009 di dalam kes Dr. Muhammad Aslam Khaki v Federation of Pakistan.
5. Teks penghakiman sebanyak 23 muka surat itu boleh dicapai di laman web rasmi Federal Shariah Court di bahagian “Leading Judgments” dan seterusnya “Important Judgments” dan penghakiman ini bukan hanya dibuat oleh 3 orang hakim seperti yang tertulis dalam berita atau artikel tersebut, tetapi seramai 4 orang hakim Islam iaitu YA Hakim Dr. Fida Muhammad Khan, YA Ketua Hakim Haziqul Khairi, YA Hakim Salahuddin Mirza dan YA Hakim Syed Afzal Haider.
PENGHAKIMAN SEBENAR
1. Pempetisyen iaitu Dr. Muhammad Aslam Khaki ingin mencabar Artikel 8 dan Artikel 25 Prohibition (Enforcement of Hadd) Order 1979 (perintah) atas sebab ia mencabuli ajaran dan semangat Islam.
Artikel 8 memperuntukkan kesalahan meminum arak dan sesiapa yang didapati bersalah boleh dikenakan Hadd dan dihukum sebat sebanyak 80 kali.
Artikel 25 pula memperuntukkan bahawa sesiapa yang didapati bersalah atas cubaan untuk melakukan kesalahan di bawah perintah tersebut, dalam kes kesalahan di bawah Artikel 8, boleh dipenjarakan sehingga 2 tahun.
2. Antara hujahan yang diutarakan oleh pempetisyen adalah:
a. al-Quran dan as-Sunnah tidak mengisytiharkan bahawa perbuatan meminum arak itu adalah haram secara mutlak;
b. hukuman bagi kesalahan meminum arak bukan daripada al-Quran dan as-Sunnah;
c. perbuatan meminum arak bukan termasuk dalam dosa besar atau “major sin” dan “heinous crime”, dan ia hanyalah termasuk dalam dosa kecil atau “minor sin” dan “crime simpliciter”.
3. Semasa kes itu didengari para hakim, turut hadir “juris consult” iaitu ulama-ulama tempatan yang arif dalam ilmu agama Islam, antaranya Allama Shah Tafazul Ali, Maulana Sarfraz Mehmood, Maulana Ibrahim Musa, Muhammad Abdul Manan, Ibrahim Ishaque dan Dr. Muhammad Yousaf Farooqui.
4. Saya merujuk kepada penghakiman yang begitu indah dan komprehensif oleh YA Dr. Fida Muhammad Khan yang menerangkan dengan teliti bersandarkan dalil-dalil dari al-Quran dan as-Sunnah.
Antara kandungan penghakiman YA Dr. Fida Muhammad Khan adalah seperti berikut:
a. al-Quran telah membuat larangan meminum arak secara berperingkat sehingga akhirnya ia diharamkan sama sekali:
Rujuk Surah al-Maidah ayat 90 yang berbunyi “Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar (arak), berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.”
Rujuk Surah al-Maidah ayat 91 yang bermaksud “Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu).”
b. Islam di zaman Rasulullah S.A.W. mendidik umatnya dengan mengutamakan perihal keimanan atau “faith” sebelum membuang sisa-sisa jahiliyyah seperti berjudi, meminum arak dan menyembah berhala. Oleh kerana itu Rasulullah S.A.W. mengambil masa selama 13 tahun bagi memperbetulkan aqidah umat Islam agar menyerah bulat-bulat kepada Allah S.W.T. sehinggalah umat Islam bersedia untuk menerima sebarang bentuk perintah atau larangan daripada Allah S.W.T. iaitu syariat Islam.
c. Perbuatan meminum arak digolongkan bersama-sama dengan perbuatan menyekutukan Allah S.W.T. seperti menyembah berhala membawa maksud meminum arak itu adalah perbuatan terkutuk dan tidak mungkin tergolong dalam perbuatan makruf yang dibenarkan Allah S.W.T. Perbuatan meminum arak merupakan salah satu kaedah Syaitan memesongkan umat Islam daripada mengingati Allah S.W.T. dan beribadah kepadaNya.
d. YA Dr. Fida turut menyebut beberapa hadis mengenai larangan meminum arak. Antaranya:
Abu Rafi’, dari Hammad ibnu Zaid, dari Ayyub, dari Nafi’, dari Ibnu Umar yang menceritakan bahwa Rasulullah Saw. pernah bersabda: “Setiap yang memabukkan adalah khamr, dan setiap yang memabukkan adalah haram. Dan barang siapa minum khamr, lalu mati dalam keadaan masih kecanduan khamr dan belum bertobat dari perbuatannya itu, maka kelak di akhirat ia tidak dapat meminum khamr (surga).”
e. Di zaman Rasulullah S.A.W., orang Islam yang meminum arak dihukum sebat. YA Dr. Fida menyebut tentang hadis di mana Nabi telah didatangi oleh seorang lelaki yang telah meminum arak, lalu telah disebatnya dengan dua pelepah tamar sebanyak 40 kali (Bukhari, Tirmizi, Abu Daud, Ibnu Majjah). Di zaman Saidina Abu Bakar, hukuman sebat adalah sebanyak 40 kali manakala hukuman sebat semasa zaman Saidina Umar adalah sebanyak 80 kali. Walaupun berbeza jumlah sebatan, hukuman sebat ternyata dianjurkan Islam menurut hadis Nabi S.A.W.
f. Hukuman sebatan syariah tidaklah berat. Sebatan tidak boleh dikenakan pada bahagian muka, dada, perut atau bahagian-bahagin sulit, panjang rotan atau dahan tidak boleh melebihi 1.22 meter dan ketebalan tidak melebihi 1.25 cm, rotan atau dahan tidak boleh diangkat melebihi kepala orang yang melakukan sebatan, menggunakan kekuatan sederhana, sebatan tidak boleh dilakukan ketika cuaca terlalu panas atau terlalu dingin, pemeriksaan fizikal dan kesihatan oleh pegawai perubatan sebelum hukuman dan kehadiran pegawai perubatan semasa hukuman berjalan, orang tua atau uzur akan dikenakan hukuman mengikut keadaan agar tidak membahayakan.
g. Syariah bertujuan untuk menimbulkan kesedaran ke atas kesalahan yang dilakukan dan membuka jalan untuk bertaubat. Syariah juga memastikan ia tidak menyebabkan keadaan yang memalukan atau trauma kerana ia bertujuan menyucikan diri dan membuang stigma.
h. Dengan hujahan-hujahan ini (hujahan/huraian lain boleh rujuk penghakiman tersebut), YA Hakim Dr. Fida memutuskan untuk menolak petisyen oleh Dr. Muhammad Aslam Khaki.
5. YA Ketua Hakim Haziqul Khairi dan YA Hakim Salahuddin Mirza bersetuju dengan penghakiman YA Dr. Fida Muhammad Khan dan YA Syed Afzal Haider memutuskan untuk menolak petisyen Dr. Muhammad Aslam Khaki.
KESIMPULAN
Merujuk kepada keputusan kesemua 4 hakim Mahkamah Syariah Persekutuan Pakistan untuk menolak petisyen yang dikemukakan oleh Dr. Muhammad Aslam Khaki yang membawa hujahan bahawa kononnya meminum arak tidaklah dilarang secara mutlak oleh al-Quran dan as-Sunnah dan hukuman sebat tidak diperuntukkan oleh al-Quran dan as-Sunnah.
Ini bermaksud dakwaan bahawa kononnya Mahkamah Syariah Persekutuan Pakistan membuat keputusan bahawa meminum arak adalah tidak haram dan hukuman sebat adalah tidak Islamik adalah penyelewengan fakta dan berbaur fitnah.
Ini juga bermaksud bahawa keputusan Mahkamah Syariah Persekutuan Pakistan yang menegakkan undang-undang yang memperuntukkan kesalahan meminum arak dengan hukuman sebat sebanyak 80 kali adalah tidak “relevan” untuk Siti Kasim menggesa orang Islam yang didakwa di Mahkamah Syariah Malaysia untuk mencabar enakmen jenayah syariah negeri-negeri mahupun wilayah-wilayah persekutuan.
Saya menasihati Siti Kasim agar berhati-hati apabila memetik sumber “online” dan membuat semakan agar tidak timbul fitnah terhadap pihak-pihak terbabit, lebih malang lagi terhadap ajaran Islam sendiri yang sudah sekian lama, mengikut jumhur ulama berdasarkan nas al-Quran dan as-Sunnah, difahami bahawa meminum arak adalah perbuatan dosa dan diharamkan.
Selamat Tahun Baru 2018 dan semoga mendapat keredhaan Allah S.W.T.
Danial Ariff bin Shaari
Aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).
The post Menyelar Siti Kasim menyebarkan salah faham terhadap Islam dan keputusan Mahkamah Syariah Persekutuan Pakistan berhubung perbuatan meminum arak appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan