Mereka datang untuk membunuh Musaab al-Tamimi
TEBING BARAT, 18 Rabiulakhir 1439H, Sabtu – Tatkala masyarakat antarabangsa sedang memberi tumpuan kepada Ahed Tamimi, 16 tahun, gadis yang kini ditahan kerana menampar seorang askar rejim pengganas Israel, satu keluarga lagi yang juga membawa nama Tamimi, mengebumikan mayat anak remaja mereka.
Pada Rabu lalu, Musaab al-Tamimi, juga berusia 16 tahun, ditembak di lehernya oleh askar rejim pengganas Israel yang menyerbu perkampungan Deir Nitham di tengah wilayah diduduki di Tebing Barat. Musaab adalah rakyat Palestin pertama dibunuh tahun ini.
Askar rejim pengganas mendakwa kejadian tembakan itu sedang disiasat, tetapi mengatakan bahawa anggota tentera mereka telah mengenal pasti ‘penunjuk perasaan memiliki senjata api’ ketika rusuhan yang didakwa ganas, membabitkan puluhan rakyat Palestin.
Namun, anggota keluarga Musaab berkata, remaja itu tidak bersenjata dan ditembak dari jarak beberapa meter ketika rusuhan mula tercetus.
“Di sini mereka menembaknya,” kata adik Musaab, Usama al-Tamimi, 15 tahun, sambil menunjukkan kesan darah di tempat abangnya ditembak, beberapa meter dari rumah mereka.
Menceritakan bahawa dia berada bersebelahan abangnya ketika kejadian, Usama berkata, askar rejim itu hanya berada kira-kira 10 meter dan tidak mengambil langkah menangkap, sebaliknya terus melepaskan tembakan.
“Adakah anda fikir mereka menembak seseorang yang dikatakan bersenjata dan kemudian membiarkannya jatuh serta meninggalkan senjata itu untuk kami pula mengambilnya? Apakah mereka tidak cuba untuk mengambil senjata api itu?
“Anak saya tidak memiliki senjata api. Dia tidak memberi ancaman kepada mereka. Mereka datang untuk membunuhnya,” kata bapa Musaab, Firas.
Berbalik kepada pagi Rabu lalu, ibu Musaab, Dena risau sama ada pakaian yang dipilih oleh Musaab memberi beberapa petunjuk mengenai apa yang bakal berlaku pada hari itu.
“Biasanya apabila Musaab keluar untuk menyertai tunjuk perasaan, dia akan memakai baju sejuk atau baju tidur. Tetapi, hari itu dia memakai pakaian yang lebih bagus, merapikan rambutnya, dan bersedia dengan dirinya. Seolah-olah dia tahu dia akan pergi ke syurga bertemu Allah,” katanya.
Pagi itu, Firas, Dena, Musaab dan tiga adiknya bersarapan bersama. Mereka masih bercuti kerana sekolah ditutup pada musim dingin.
“Seperti hari-hari biasa, askar rejim memasuki kampung tanpa sebab, bergerak di jalan utama. Jalan sama mereka masuk siang dan malam untuk mengugut, menangkap dan melakukan provokasi terhadap penduduk,” kata Firas.
Selepas sarapan, Musaab memakai pakaian cantik untuk menyertai tunjuk perasaan yang membabitkan rakan-rakannya di jalan utama tidak jauh dari rumahnya.
“Di tengah-tengah kekacauan itu, anggota tentera menangkap seorang remaja dari kampung itu, seorang lelaki yang cacat mental
“Berikutan itu, sekumpulan penunjuk perasaan cuba membebaskannya. Dan ketika rusuhan itu seorang kapten askar memandang saya dan berkata ‘kami telah menangkap seorang budak dan akan membunuh seorang lagi sebelum hari ini berakhir’.
“Bagaimana saya hendak tahu bahawa 10 minit kemudian, anak saya yang mereka bunuh?,” kata Firas.
“Anda perlu tahu bahawa pada hari itu mereka (askar) tidak menembak menggunakan peluru getah atau gas pemedih mata. Semuanya peluru hidup dan mereka keluar mencari darah,” kata bapa saudara Musaab, Yousif.
Menurut Firas, Yousif, keluarga dan rakan-rakannya, askar rejim pengganas mahukan darah Musaab pada hari itu.
Sehari sebelum Musaab dibunuh, askar rejim menyerbu perkampungan sama kira-kira jam 7 pagi dan mengedarkan poster berbentuk ancaman dan mengumumkan peningkatan jumlah kehadiran anggota tentera dalam usaha mematahkan tindakan remaja Palestin yang membaling batu ke arah mereka.
Namun, ramai remaja, termasuk Musaab yang memakai baju sejuk merah, berkumpul di jalan raya dan membaling batu ke arah trak tentera.
Sejam kemudian seorang kapten bersama 25 anggota tentera memasuki semula perkampungan itu mencari ‘budak lelaki berpakaian baju sejuk merah’, yang mereka telah kenal pasti menerusi rakaman video ketika pertempuran itu.
“Mereka ternampak Musaab di jalan. Menangkapnya dan memaksanya membawa mereka ke rumahnya. Apabila mereka tiba di rumah, mereka mengambil gambar Musaab dan kapten itu memberitahu ‘kami akan menunjukkan apa yang akan berlaku kepadanya’.
“Adakah anda fikir ianya secara kebetulan, bahawa sehari kemudian mereka menembak leher anak saya dan membunuhnya? Walaupun dia membaling batu, tiada alasan untuk membunuhnya. Mereka boleh mencederakan atau menangkapnya jika mereka mahu.
“Mereka mengambil gambarnya sehari sebelum itu. Kenal mukanya. Dan apabila mereka melihatnya berdiri di depan mereka, mereka menembaknya. Kapten itu mahu Musaab mati dan askarnya melakukan untuknya,” kata Firas.
Firas juga percaya Musaab menjadi keturunan Tamimi yang membayar harga perjuangan yang panjang menentang pendudukan rejim pengganas Israel.
“Tamimi di kampung Nabi Saleh (keluarga Ahed) adalah keluarga kami melalui perkahwinan dan darah. Kami adalah kampung kembar. Remaja kami pergi ke kampung Nabi Saleh untuk menyertai tunjuk perasaan dan remaja mereka datang ke kampung kami.
“Kami adalah satu keluarga. Jadi, apa yang berlaku kepada mereka, juga berlaku kepada kami,” kata Firas. – Agensi
The post Mereka datang untuk membunuh Musaab al-Tamimi appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan