Mereka telanjang perkara biasa, tapi kita mana nak letak muka….

SAYA berasa amat malu apabila membaca surat Dr June Robertson yang ditujukan khas kepada pramugari syarikat penerbangan tambang murah berwarna merah. Beliau yang dua kali setahun datang ke Kuala Lumpur menggunakan pesawat itu begitu berasa jijik dengan pakaian pramugari merah berkenaan dengan skirt terlalu pendek dan dada terdedah sehingga menampakkan payu dara.

Antara kandungan surat beliau berbunyi;

The air stewardess serving us in the premium business class seats had her blouse opened and I could see the top of her breasts. I objected and asked her to close her jacket as she was bending over us. One of the things we like about Malaysia is the fact that your women do not dress like prostitutes and the people are very respectful of others.

Ternyata, beliau begitu ikhlas dalam memberikan komen. Beliau yang mengenai Malaysia dengan budaya ketimurannya sudah tentu tidak mahu pramugari pesawat ini berpakaian lagak pelacur.

Apakah pihak pengurusan syarikat penerbangan merah ini fikir, bahawa pelancong yang datang ke sini mahu melihat betapa modennya pramugari kita. Tidakkah kita sedar bahawa negara mereka lebih terbuka berbanding kita. Malah, pada mereka bertelanjang itu perkara biasa.

Apabila tiba di Malaysia, sudah tentu mereka amat teruja melihat kesopanan dan keunikan yang kita ada. Tetapi amat memalukan apabila beliau memberikan komen mengenai pramugari kita. Tidakkah orang Islam antara yang menjadi tulang belakang utama syarikat penerbangan murah ini tidak terasa terpukul dan terhina dengan nasihat orang bukan Islam ini.

Malah, Robertson berkata, pemakaian skirt pendek itu tidak pernah dilihatnya di mana-mana syarikat penerbangan antarabangsa lain sebelum ini. Syarikat penerbangan Eropah, New Zealand, Australia atau Amerika tidak memakai skirt pendek seperti itu. Beliau berasa ianya menjijikkan kerana tidak semua orang menghargai dan menerima perkara seperti itu.

Beliau memuji, salah satu perkara yang disukai mengenai Malaysia ialah wanitanya tidak berpakaian seperti pelacur dan sangat menghormati orang lain. Katanya, antara perkara yang disukai mengenai Malaysia adalah realiti wanita di negara ini yang sangat menjaga adab berpakaian dan menghormati orang lain.

Jelasnya lagi, etika berpakaian yang diguna pakai syarikat penerbangan itu menjejaskan reputasi Malaysia yang mencerminkan budaya pemakaian yang sopan. Lebih menjengkelkan katanya, pernah secara tidak sengaja beliau terlihat seluar dalam seorang pramugari syarikat penerbangan yang membongkok di pasar raya di KLIA2. Menjijikkan.

Perkara ini pernah penulis lontar beberapa kali. Terbaharu pesanan saya kepada artis Neelofa yang dilantik sebagai pengarah bebas syarikat penerbangan merah itu. Sampai bila kita mahu berubah? Teguran demi teguran telah dilontarkan. Jika syarikat penerbangan itu tidak mahu berubah juga, tidak bolehkah pihak berkuasa yang mengeluarkan lesen kepada mereka memberi teguran?

Kita bukanlah terlalu ekstrem sehingga mahukan mereka bertudung. Cukuplah dengan berpakaian sopan dan tidak mencolok mata. Sebenarnya, kita mahu berniaga apa? Menjual tiket kapal terbang atau menjual paha dan buah dada?

Yang elok kita puji, angkat ibu jari. Yang tak elok kita benci dan kita tegur. Saya tidak ada komen langsung uniform pramugara mereka, ringkas dan cukup segak. Ini perlu dipuji.

Tetapi, kenapa pramugarinya terlalu seksi. Lebih memalukan lagi apabila dipakai olah anak-anak orang Islam. Bukan main lagi lagaknya kadang-kadang ketika berkeliaran di klia2. Begitu bangga untuk kelihatan seksi. Mahu jadi apa dengan anak-anak Melayu ini? Justeru, sudah sampai masanya kita mengambil iktibar.

Pertama, jika syarikat penerbangan tambang murah buat tidak tahu sahaja, sudah sampai masanya pihak berkuasa bertindak. Paling kurang nasihatkanlah. Hantar surat peringatan, jika bukan pun amaran. Apa yang saya diberitahu, memang pada awal, skirt pramugari merah ini di bawah lutut. Pramugari ini yang memandai-mandai mengguntingnya sehingga menjadi terlalu pendek, agar kelihatan seksi konon. Mahu jual servis atau jual apa?

Kedua, orang Islam yang turut menerajui syarikat tambang murah ini, takkan tiada kesedaran walaupun sedikit. Tidakkah ada sedikit perkiraan dosa dan pahala, syurga dan neraka. Jika perkara asas sebegini pun kita masih lagi tidak faham, bagaimana pula untuk membicarakan rezeki halal dan haram.

Sudah tiba masanya syarikat korporat diwajibkan mengikuti kursus asas-asas nilai kesopanan yang boleh diterajui oleh Jakim. Saya sendiri menawarkan diri untuk memberikan input mengenai nilai-nilai kesopanan orang Timur, jika tidak pun daripada perspektif Islam kerana takut dilabelkan sebagai Taliban.

Ia bertujuan supaya imej negara terjaga. Peliknya ketika pesawat ini membawa jemaah umrah atau haji, elok pulak berpakaian sopan. Apakah ada dalam pemikiran mereka, disebabkan kapal terbang tersebut menghala ke Makkah dan Madinah, maka pakaian perlu sopan.

Bila menghala ke tempat lain, maka perlu ‘ditelanjangkan’. Jika ada pemikiran sebegini, kita sudah sampai ke tahap jahil sejahil jahilnya atau jahil murabab. Bulan puasa jadi baik, bulan Syawal jadi jahat. Menunaikan umrah dan haji, elok menutup aurat. Keluar daripada Tanah Suci, aurat entah ke mana. Islam jenis apa yang kita amalkan.

Ketiga, pihak berkuasa perlu menyediakan garis panduan kepada semua syarikat tempatan agar apa jua tindakan yang dilakukan tidak memalukan negara. Paling kurang Rukun Negara hendaklah menjadi panduan. Perkara 1 dan 5, iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan serta Kesopanan dan Kesusilaan, sangat relevan.

Tidak ada agama atau kepercayaan kepada Tuhan yang menggalakkan pengikutnya berpakaian seksi dan mencolok mata. Masalahnya hari ini kita, kita terlampau bebas, sehingga menjadi lebih Barat daripada Barat. Teguran Robertson sepatutnya dipandang serius kerana tidak ada satu pun katanya syarikat kapal terbang di dunia yang memakai skirt terlampau pendek dengan dada terbuka luas.

Keempat, uniform pramugari merah ini hanyalah satu contoh ketara yang memalukan. Syarikat penerbangan lain pun janganlah berasakan mereka sudah bagus. Dua kali lima juga. Sebenarnya uniform kebaya putih jarang dan kebaya batik yang tidak berjahit serta skirt pendek oren pun lebih kurang sahaja.

Lip lap lip lap kain terbelah dan tertutup bila melangkah. Bagi kain yang tidak berjahit, jahitlah yang mana patut. Manakala, yang terbuka dada, tutup agar tidak dilabel sebagai pelacur. Ambil contoh syarikat penerbangan lain yang lebih bersopan seperti yang disebut oleh Robertson.

Paling baik, lihatlah pemakaian uniform pramugari Royal Brunei Airlines (RBA). Saya tidak ada komen uniform paramugara kerana bersetuju dengan pendapat Robertson.

Akhirnya, Malaysia sudah dikenali dunia sebagai sebuah contoh negara Islam yang berupaya menjadi sebuah negara maju. Justeru, marilah kita maju dengan acuan Malaysia. Acuan yang berlandaskan kesopanan dan kesusilaan, jika tidak pun berlandaskan kepada agama kerana takut dituduh sebagai Taliban.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

The post Mereka telanjang perkara biasa, tapi kita mana nak letak muka…. appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian