ismakualaterengganu

MERS-CoV: Pengendali umrah dinasihat tidak anjur lawatan ke ladang unta

PUTRAJAYA, 15 Rabiulakhir 1439H, Rabu – Syarikat pengendali pakej umrah dan ziarah dinasihatkan tidak menganjurkan lawatan ke ladang unta b...

PUTRAJAYA, 15 Rabiulakhir 1439H, Rabu – Syarikat pengendali pakej umrah dan ziarah dinasihatkan tidak menganjurkan lawatan ke ladang unta bagi mengelakkan jangkitan Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV), kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata, lawatan ke ladang haiwan itu boleh mendatangkan risiko jangkitan MERS-CoV kepada jemaah umrah kerana jangkitan respiratori yang disebabkan oleh virus korona disyaki berpunca daripada unta.

Menurutnya, perkara tersebut dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dan pihak kementerian menasihatkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Agama) untuk menasihatkan agensi pelancongan agar tidak menyediakan pakej lawatan ke ladang unta.

“Kementerian Kesihatan tidak boleh mengeluarkan larangan, jadi saya meminta kerjasama dua kementerian itu agar perkara ini boleh diumum dan dimaklumkan kepada jemaah umrah agar tidak perlu melawat ladang unta (di Tanah Suci) bagi mengelakkan daripada dijangkiti MERS-CoV,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua kementerian itu memberikan respon positif dan akan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan jangkitan MERS-CoV dalam kalangan jemaah umrah, jemaah haji dan pelawat dapat dicegah.

Mengulas lanjut, Dr Subramaniam berkata, seorang lelaki warga Malaysia yang disahkan dijangkiti MERS-CoV telah dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Sungai Buloh dan keadaannya dilaporkan stabil serta tidak bergejala.

Beliau berkata, sejak 30 Disember lepas, pihaknya telah menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan termasuk pengesanan kontak seramai 70 orang melibatkan anggota keluarga serumah, saudara mara, sahabat handai dan anggota kumpulan pakej umrah yang disertai oleh lelaki berusia 55 tahun itu.

Aktiviti pengesanan turut dijalankan terhadap anggota kesihatan yang mengendalikan kes di klinik swasta yang dilawati dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang serta penumpang-penumpang yang duduk berhampiran dengannya bagi perjalanan pulang ke Malaysia pada 23 Disember lalu, katanya.

Daripada 70 orang itu, sembilan kontak mempunyai gejala ringan dan telah dimasukkan ke dalam wad isolasi serta didapati keputusan sampel mereka adalah negatif MERS-CoV, manakala 41 kontak rapat yang tiada gejala pula diletakkan di bawah arahan pengawasan di rumah iaitu selama dua minggu dari hari terakhir mereka mempunyai kontak dengan pesakit positif MERS-CoV, katanya.

“Bakinya yang tidak ada gejala telah diambil sampel dan kesemuanya adalah negatif,” katanya.

Berhubung banjir pula, Dr Subramaniam berkata, setakat ini tiada kemudahan kesihatan dan hospital di negeri-negeri dilanda banjir yang terjejas.

Beliau berkata, pasukan perubatan juga telah ditempatkan di setiap pusat pemindahan di negeri yang terjejas banjir bagi memastikan mangsa menerima makanan dan minuman yang bersih selain mengekang kemungkinan penularan penyakit berjangkit.

“Kita akan terus memantau dan memeriksa di pusat-pusat pemindahan bagi menghindari jangkitan penyakit, wabak dan kes berisiko serta meningkatkan tahap keselamatan mutu air minum dan makanan,” katanya.- Bernama

The post MERS-CoV: Pengendali umrah dinasihat tidak anjur lawatan ke ladang unta appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Related

TERKINI 6371140713262764459

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item