Pakaian seragam pramugari: Memalukan bila ditegur warga asing

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 28 Rabiulakhir 1439H, Selasa – Kerajaan digesa untuk segera mengambil tindakan mengubah etika pemakaian syarikat penerbangan negara yang dilihat terlampau seksi dan mencolok mata.

Ketua Biro Islamiyat Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Haji Omar Kassim berkata, ianya sangat memalukan sehingga perkara itu turut menjadi kejelikan dan ditegur oleh rakyat luar negara.

Mengulas isu surat teguran seorang doktor wanita dari New Zealand yang tular di media sosial sejak kelmarin, beliau berkata, kerajaan perlu memandang serius perkara tersebut dan memberikan garis panduan lebih jelas kepada syarikat penerbangan terbabit.

“Beliau bukan seorang Muslim, jelas pakaian yang sopan, apatah lagi menutup aurat menjadi pilihan manusia yang betul fitrahnya, merentas pegangan agama.

“Tindakan perlu dilakukan, dengan mengubah etika pemakaian syarikat penerbangan ini. Kerajaan perlu mengambil tindakan, memberikan garis panduan lebih jelas kepada syarikat,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Dr June Robertson dalam sepucuk surat kepada Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Hanafi Mamat meluahkan kejijikannya terhadap pakaian pramugari sebuah syarikat penerbangan Malaysia.

Robertson yang kerap datang ke Malaysia akui tersinggung dengan pemakaian skirt terlalu pendek, bahkan tidak pernah dilihatnya di mana-mana syarikat penerbangan antarabangsa lain sebelum ini.

Wanita berkenaan mengakui antara perkara yang disukai mengenai Malaysia adalah realiti wanita di negara ini sangat menjaga adab berpakaian dan menghormati orang lain.

Bagaimanapun beliau kesal apabila etika berpakaian yang digunapakai syarikat penerbangan itu menjejaskan reputasi Malaysia yang mencerminkan budaya pemakaian yang sopan.

Mengulas lanjut perkara itu, Omar Kassim berkata, teguran seumpama itu bukanlah baharu sebaliknya ia kerap kali diluahkan di kalangan ahli politik, golongan ulama serta masyarakat umum.

Malangnya, semua teguran berkenaan tidak dihiraukan dan hanya dipandang sepi oleh syarikat penerbangan berkenaan, kata Omar Kassim.

“Ini sangat mengecewakan, padahal mereka mewakili syarikat negara yang beribupejabat di Malaysia.

“Masyarakat Malaysia yang majoritinya Muslim tidak berpakaian sedemikian (sehingga menampakkan buah dada dan seluar dalam seperti dalam surat) amat keterlaluan,” katanya.

Serentak itu, beliau menyarankan kepada semua wanita khususnya muslimah supaya sentiasa berpakaian sopan dan menutup aurat.

Jelas beliau, pakaian menutup aurat adalah simbol ketamadunan, dan melambangkan kesucian serta kehormatan seorang wanita itu.

“Bahkan ia juga akan menambahkan rasa hormat pihak lain yang berhubungan dengan kita. Jangan malu dan segan untuk menutup aurat dan mengenakan pakaian Muslimah.

“Ramai diluar sana, masyarakat luar termasuk yang bukan beragama Islam mengkagumi. Peliharalah maruah diri. Berpakaian menjolok mata akan menghilangkan rasa malu terhadap manusia dan terhadap Allah,” katanya.

The post Pakaian seragam pramugari: Memalukan bila ditegur warga asing appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian