ismakualaterengganu

PAS mahu jadi kerajaan, tanding lebih 130 kerusi Parlimen

SHAH ALAM, 4 Jamadilawal 1439H, Ahad – PAS hari ini mengumumkan akan bertanding di lebih daripada 130 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umu...

SHAH ALAM, 4 Jamadilawal 1439H, Ahad – PAS hari ini mengumumkan akan bertanding di lebih daripada 130 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi membolehkannya membentuk kerajaan, walaupun menang dengan majoriti mudah.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS perlu bertanding sekurang-kurangnya lebih daripada jumlah majoriti mudah iaitu daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

“Kemungkinan (bertanding) 130 lebih (kerusi Parlimen), sekurang-kurangnya majoriti mudah. PAS mahu membentuk kerajaan ataupun menyertai pembentukan kerajaan, bukan lagi sebagai pembangkang yang lemah,” katanya pada sidang media selepas melancarkan jentera PAS Selangor bagi PRU14 pada Himpunan Fastaqim 2.4 di sini, hari ini.

Pada PRU13, PAS bertanding 73 kerusi Parlimen dan menang 21 daripadanya. Enam daripada 21`kerusi kini disandang anggota Parlimen PAN, parti serpihan PAS, manakala kerusi Parlimen Pokok Sena juga terlepas apabila penyandangnya Datuk Mahfuz Omar mengumumkan keluar parti itu awal tahun ini.

Himpunan, yang bertujuan menggembleng kekuatan serta menggerakkan kebangkitan anggota serta penyokong PAS, turut dihadiri Naib Presiden parti Idris Ahmad, Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi dan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Abdul Hadi berkata, PAS juga bertekad mahu merampas Selangor pada PRU14 bagi menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.

“Selangor perlu menjadi contoh, kita harap rakyat Selangor mesti memilih kepimpinan Islam,” katanya.

PAS Selangor sebelum ini dilapor menyasarkan sekurang-kurangnya 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri di negeri itu, termasuk di kawasan diwakili Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Bukit Antarabangsa) dan Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Kajang).

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi mengingatkan kerajaan Selangor supaya tidak mencampuradukkan isu berkaitan politik dalam urusan pentadbiran negeri.

Ini susulan dakwaan peruntukan tahunan yang disediakan untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS di negeri itu disekat.

Sallehen sebelum ini berkata, bahawa beliau telah dimaklumkan oleh pegawai Unit Perancangan Ekonomi (EPU) negeri Selangor bahawa peruntukan kepada wakil rakyat PAS untuk tahun ini akan dibekukan.

Mohamed Azmin bagaimanapun menafikan kerajaan Selangor menyekat peruntukan kepada wakil rakyat PAS di negeri itu dan sebaliknya berkata, kelewatan itu mungkin berpunca daripada masalah teknikal.

Ditanya mengenai calon Menteri Besar Selangor daripada PAS sekiranya parti itu menguasai negeri itu pada PRU14, Abdul Hadi berkata, pihaknya tidak akan menamakannya sehinggalah proses pilihan raya selesai.

“Kita tak mahu buat andaian, kita tunggu lepas PRU14. Mengenai sama ada PAS akan terus sokong Mohamed Azmin (sebagai Menteri Besar Selangor), kamu (wartawan) boleh baca (buat telahan) sendiri lah,” katanya. – Bernama

The post PAS mahu jadi kerajaan, tanding lebih 130 kerusi Parlimen appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Related

TERKINI 6688074505212114707

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item