Pengusaha stesen minyak minta kerajaan kaji komisen

SHAH ALAM, 4 Jamadilawal 1439H, Isnin – Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera (Bumipeda) mahu kerajaan menyemak semula kadar komisen jualan bahan api yang diberikan kepada pengusaha stesen minyak yang menurut persatuan itu sudah tidak lagi relevan dengan kos operasi pada masa kini.

Presidennya, Datuk Abu Samah Bachik berkata, komisen sebanyak RM0.12 sen seliter bagi petrol dan RM0.07 sen seliter bagi diesel yang tidak dikaji semula sejak 2008 adalah tidak lagi sesuai dengan peningkatan kos operasi antaranya melibatkan penetapan pembayaran gaji asas pekerja minimum pada kadar RM1,000 sebulan di Semenanjung dan RM920 bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Selain kos pembayaran gaji pekerja, kadar tarif elektrik dan air selain komisen bagi pembayaran kad kredit kepada pihak bank turut telah meningkat sejak 2008 dan sedikit sebanyak telah meningkatkan kos operasi stesen minyak,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan pertama persatuan berkenaan di sini, hari ini.

Beliau berkata, sehubungan itu Bumipeda mencadangkan agar kerajaan meningkatkan kadar komisen kepada lapan hingga 10 peratus bagi satu liter petrol dan diesel yang dijual agar pengusaha stesen minyak dapat menjana keuntungan mereka. 

“Saya menerima banyak laporan sejak kebelakangan ini ramai pengusaha stesen minyak yang menanggung kerugian dan terpaksa gulung tikar akibat isu ini,” dakwanya.

Kata Abu Samah, kini terdapat 2,700 pengusaha stesen minyak Bumiputera di seluruh negara.

Bumipeda turut meminta kerajaan agar menguatkuasakan pekeliling sistem layan diri yang dikeluarkan pada 2008, katanya.

Katanya pekeliling ini perlu dikuatkuasakan sepenuhnya serta mewujudkan akta melalui Parlimen bagi memastikan persaingan sihat antara pengusaha stesen minyak.

“Stesen yang meletakkan pekerja di pam minyak selalunya menerima lebih banyak pelanggan daripada stesen yang mengamalkan sistem layan diri, ini menyebabkan mereka bersaing satu sama lain yang antara lain akan meningkatkan kos operasi berikutan perlu membayar gaji ramai pekerja,” katanya. – Bernama

The post Pengusaha stesen minyak minta kerajaan kaji komisen appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian