Peniaga vape masih tunggu undang-undang baru

KUALA LUMPUR, 29 Rabiulakhir 1439H, Rabu – Peniaga rokok elektronik atau ‘vape’ masih beroperasi seperti biasa enam bulan selepas kerajaan membentuk sebuah jawatankuasa untuk mengawal selia industri vape.

Presiden Persatuan Alternatif E-Vaporisers dan Tembakau Malaysia (Mevta), Rizani Zakaria berkata, usahawan tempatan terus menjalankan perniagaan seperti biasa, menjual produk mereka kepada pengguna tempatan atau mengeksportnya ke pasaran luar negara.

“Kita sedang menunggu undang-undang baru, peniaga dan usahawan masih menjalankan perniagaan mereka seperti biasa, dengan harapan isu pelesenan dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.

“Ini (undang-undang) adalah untuk mengelakkan sebarang keraguan di kalangan orang ramai mengenai penjualan vape, terutamanya selepas keputusan kerajaan untuk membenarkannya dijual di Malaysia, kecuali Johor,” katanya seperti dilapor The Malaysian Reserve (TMR).

Mevta menganggarkan terdapat kira-kira 4,000 hingga 5,000 peniaga vape di negara tahun lepas, yang sama dengan jumlah pada tahun 2016.

September lalu, kerajaan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa kerja untuk mengawal selia industri, yang termasuk wakil-wakil dari Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan kumpulan industri.

Jawatankuasa ini, yang ditubuhkan pada Julai tahun lepas, dijangka mengeluarkan cadangan mengenai industri berkenaan tetapi Mevta berkata, tidak ada pembaharuan mengenai perkara itu.

Rizani berkata, dengan peningkatan permintaan e-cecair Malaysia dan peraturan-peraturan yang akan dilaksanakan, Mevta yakin bahawa industri ini perlahan-lahan akan membuat kemunculan semula.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Vape Empire Sdn Bhd, Zac Oh berkata, walaupun tidak ada undang-undang kukuh pada masa ini, pengedar produk e-rokok dan vape bergantung pada garis panduan KPDNKK yang dikeluarkan tahun lepas untuk memastikan operasi perniagaan yang lancar.

“Sehingga kini tiada pengumuman oleh KPDNKK. Terdapat khabar angin bahawa ia (peraturan) hanya akan dimuktamadkan pada tahun 2019.

“Sekarang kita tahu mereka hanya merangka keseluruhan undang-undang dan masih memerlukan masa untuk dibentangkan di Parlimen untuk kelulusan,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan berkata pihaknya akan menggubal undang-undang baharu menggantikan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, manakala KPDNKK pula menggubal undang-undang baharu berhubung kawalan rokok elektronik dan vape yang tidak mengandungi nikotin dalam tempoh dua tahun.

Sepanjang tempoh tersebut, penjualan rokok elektronik dan vape adalah tertakluk kepada undang-undang dan peraturan sedia ada yang dikawal selia oleh kementerian serta agensi berkaitan.

The post Peniaga vape masih tunggu undang-undang baru appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian