Permohonan undi pos luar negara dibuka esok: SPR
PUTRAJAYA, 5 Jamadilawal 1439H, Isnin – Warganegara Malaysia yang berdaftar sebagai pemilih dan layak mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang, tetapi berada di luar negara, boleh memohon untuk mengundi melalui pos mulai esok.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ,Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, untuk memohon kemudahan mengundi melalui pos, warganegara Malaysia yang berada di luar negara hendaklah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Syarat-syarat berkenaan adalah mereka mestilah seorang pemilih berdaftar (kategori: Pengundi Biasa atau bukan Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara), pernah berada di Malaysia atau kembali ke Malaysia tidak kurang dari 30 hari dalam tempoh lima tahun sebelum pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang sedang berkuat kuasa serta menetap di luar negara.
“Mereka yang layak serta menepati syarat-syarat boleh memohon kemudahan mengundi melalui pos menggunakan Borang 1B,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, mereka yang tinggal di selatan Thailand (wilayah Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun), Singapura, Brunei dan wilayah Kalimantan Indonesia tidak layak diberi kemudahan mengundi melalui pos dan mereka perlu pulang mengundi pada hari pengundian dijalankan.
Mohd Hashim berkata, SPR telah memuat naik Borang 1B – Borang Permohonan Kertas Undi Pos (Pengundi Pos Luar Negara) di laman sesawang SPR di www.spr.gov.my.
“Garis panduan untuk mengisi borang berkenaan juga boleh dimuat turun dari laman sesawang SPR,” katanya.
Beliau berkata, permohonan melalui borang 1B yang diisi dengan lengkap hendaklah dihantar kepada Ibu Pejabat SPR di Putrajaya melalui kaedah-kaedah yang berikut:
- Melalui emel kepada upup@spr.gov.my; atau;
- Melalui faks ke 03-8881 0424/ 0399/ 0394/ 0386/ 0369; atau; dan
- Melalui pos ke alamat; Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia Menara SPR, No.2 Jalan P2T, Presint 2, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan 62100 Putrajaya (u.p. Unit Pengurusan Undi Pos Luar Negara)
Mohd Hashim berkata, permohonan mengundi melalui pos dari luar negara akan ditutup pada hari pembubaran Parlimen.
Katanya, permohonan yang diterima selepas jam 12 malam pada hari pembubaran Parlimen tidak akan diproses.
“Setiap permohonan yang diterima akan diproses oleh SPR dan pemohon akan dimaklumkan status permohonan itu sama ada diluluskan atau sebaliknya.
“Bagaimanapun, warganegara Malaysia yang mendaftar sebagai PTH di luar negara adalah pengundi pos dan oleh itu tidak perlu memohon,”katanya.
SPR turut menasihatkan semua warganegara Malaysia yang telah berdaftar sebagai PTH Luar Negara untuk mengemas kini alamat terkini di luar negara melalui Sistem Aduan dan Pertanyaan SPR di portal rasmi SPR.
Mohd Hashim berkata, permohonan kemas kini alamat terkini di luar negara hendaklak dilampirkan (dimuat naik) bersama salinan passport sebagai pengesahan pengenalan diri oleh pemohon.
“Pengemaskinian alamat terkini di luar negara adalah bagi tujuan penghantaran kertas undi pos untuk PRU Ke-14 yang akan datang,”katanya.
Bagi maksud PRU14 akan datang, beliau berkata penghantaran kertas undi pos akan diuruskan sepenuhnya oleh Pos Malaysia Bhd dan tidak lagi melalui Kementerian Luar (Wisma Putra).
Untuk sebarang pertanyaan berkenaan perkara ini, orang ramai boleh menghubungi talian 03-88810081 atau e-mel ke upup@spr.gov.my. – Bernama
The post Permohonan undi pos luar negara dibuka esok: SPR appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan