Pihak Indonesia bakal bebaskan enam nelayan Malaysia

KUALA LUMPUR, 17 Rabiulakhir 1439H, Jumaat – Enam nelayan warganegara Malaysia yang ditahan di Indonesia kerana menceroboh perairan negara itu, dijangka dibebaskan dalam tempoh terdekat, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, persetujuan untuk membebaskan nelayan kedua-dua negara itu dicapai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan
Presiden Indonesia, Joko Widodo semasa Rundingan Tahunan ke-12 Malaysia-Indonesia pada November lepas.

“Saya bertemu Duta Indonesia, Rusdi Kirana semalam dan ia adalah amat positif. Kedua-dua pihak kini dalam peringkat akhir proses pembebasan yang dijangka akan selesai dalam masa terdekat.

“Hari ini saya turut mempengerusikan satu mesyuarat penyelarasan bagi memastikan pembebasan nelayan Malaysia dan Indonesia yang ditahan di negara ini berjalan sebaiknya,” kata beliau dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri wakil-wakil kementerian dan agensi berkaitan termasuk Kementerian Luar, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada masa ini, enam nelayan Malaysia sedang ditahan di Indonesia manakala 70 nelayan Indonesia pula ditahan di Malaysia atas kesalahan menceroboh kawasan perairan masing-masing ketika menangkap ikan.

Ahmad Shabery berkata, beliau akan ke Jakarta minggu depan bagi membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Kelautan dan Perikanan
Indonesia Susi Pudjiastuti untuk memuktamadkan status pembebasan nelayan itu. -Bernama

The post Pihak Indonesia bakal bebaskan enam nelayan Malaysia appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian