Polis tumpas sindiket CK, dadah lebih RM4 juta dirampas

KUALA LUMPUR, 2 Jamadilawal 1439H, Jumaat – Polis melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah di Lembah Klang dikenali sebagai kumpulan ‘CK’ berikutan penahanan tiga individu, dan merampas dadah bernilai lebih RM4 juta dalam dua serbuan bermula Isnin lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim berkata, hasil risikan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur menahan sepasang kekasih berumur 29 dan 30 tahun di Jalan Kuchai Maju sebelum menyerbu rumah mereka di Taman Salak Selatan di sini.

“Soal siasat ke atas mereka telah membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berumur 31 tahun di sebuah kondominium di Petaling Jaya, Selangor.

Siasatan awal mendapati kondominium itu dijadikan tempat menyimpan dan membungkus dadah termasuk peket serbuk minuman pelbagai perisa yang dicampurkan dadah jenis ekstasi sebelum dihantar ke pusat hiburan,” katanya semalam.

Beliau berkata, pihaknya merampas lebih 51 kilogram serbuk disyaki ekstasi, ganja (14 gram), ketamin (473 gram) dan pil Erimin 5 (223 gram) yang merupakan rampasan terbesar setakat ini dan boleh dibekalkan kepada lebih 100,000 pengguna.

Mazlan berkata, pemeriksaan urin ke atas ketiga-tiga suspek mendapati kedua-dua lelaki terbabit positif dadah.

“Mereka dipercayai mula beroperasi sejak setahun lalu dan polis masih mencari saki baki kumpulan ini bagi melumpuhkan terus kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Beliau berkata, pasangan kekasih itu direman enam hari bermula Selasa lalu, manakala seorang lagi lelaki direman tujuh hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan. – Bernama

The post Polis tumpas sindiket CK, dadah lebih RM4 juta dirampas appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian