Rejim Al-Sisi Mesir tangkap calon Pilihan Raya Presiden

KAHERAH, 7 Jamadilawal 1439H, Rabu – Satu-satunya calon Pilihan Raya Presiden Mesir yang dikatakan mampu menggugat kedudukan Abdel Fattah al-Sisi, ditangkap semalam, sehari selepas mengumumkan akan bertanding, kerana dituduh menghasut.

Rejim al-Sisi menangkap Leftenan Jeneral Sami Hafez Anan, bekas Ketua Turus Staff Tentera Darat Mesir, selepas pengumumannya itu dikatakan boleh mendorong penentangan orang awam terhadap tentera, selain memalsukan dokumen rasmi yang menyatakan perkhidmatan ketenteraannya telah ditamatkan.

Penganjur kempen Anan mengumumkan beliau telah menarik balik pencalonannya, dan tidak menyatakan di mana Anan ditahan.

Peguam dan jurucakap kempen Anan, Mahmoud Refaat berkata, tuduhan itu adalah pembohongan dan apa yang dilakukan adalah satu jenayah.

“Rejim Mesir cuba untuk menjadikan semua orang sebagai pengganas dan sudah tiba masanya komuniti antarabangsa menyatakan pendirian.

“Sami Anan telah mematuhi semua langkah bagi menyertai pilihan raya itu. Malah, bukan perkara biasa apabila al-Sisi menuduh Anan perasuah,” katanya yang bimbang keselamatan Anan dan percaya bekas pegawai kanan tentera itu berdepan ancaman.

Katanya, tiga hari lalu, al-Sisi mengugut sesiapa sahaja yang mengumumkan akan bertanding dan dituduh terbabit dengan rasuah, akan dibunuh.

Jurucakap tentera berkata, pihak tentera tidak akan terlepas pandang terhadap pelanggaran undang-undang yang dibuat Anan kerana ia adalah kesalahan serius bagi pegawai perkhidmatan ketenteraan.

Katanya, Anan mengumumkan keputusan bertanding tanpa mendapat kebenaran daripada angkatan tentera atau mengambil langkah perlu menamatkan perkhidmatannya.

Anan mengumumkan bertanding pada pilihan raya Presiden pada Sabtu lalu, sehari selepas Al-Sisi membuat pengumuman mempertahankan jawatan disandangnya.

Refaat berkata, seorang lagi calon pilihan raya itu yang juga bekas Komander Tentera Udara Mesir dan bekas menteri, Ahmed Shafik, telah diugut dan terpaksa menarik diri

“Anan mengumumkan untuk bertanding kerana Mesir memerlukan pemimpin yang boleh mengelak negara ini daripada tenggelam,” katanya.

Anan berkhidmat sebagai Ketua Turus Staff Tentera Darat dari 2005 sehingga beliau bersara ketika Mohamed Morsi menjadi Presiden Mesir, dan penganalisis menyifatkan beliau mampu membawa kepada kestabilan.

Mesir akan mengadakan Pilihan Raya Presiden Mac ini, dan pengundian secara dua pusingan, jika tiada calon yang memperoleh 50 peratus undi pada pusingan pertama, dibuat pada April. – Agensi

The post Rejim Al-Sisi Mesir tangkap calon Pilihan Raya Presiden appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian