ismakualaterengganu

Resolusi Persidangan Meja Bulat MyAqsa Ulama Sedunia Mengenai Baitulmaqdis

Al-Quds Identiti Ummah DENGAN izin dan limpah kurnia-Nya, Persidangan ini telah dianjurkan oleh Yayasan MyAQSA, Kesatuan Ulama Islam Sedun...

Al-Quds Identiti Ummah

DENGAN izin dan limpah kurnia-Nya, Persidangan ini telah dianjurkan oleh Yayasan MyAQSA, Kesatuan Ulama Islam Sedunia dan Kesatuan Ulama Palestin Diaspora yang bertemakan “Al Quds Identiti Ummah” di Putrajaya, Malaysia di bawah naungan kerajaan Malaysia pimpinan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia telah bersepakat dengan resolusi-resolusi berikut:

  1. Persidangan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Malaysia di atas penganjuran persidangan ini sebagai satu keprihatinan kepada Al-Quds dan Masjid Al-Aqsa yang berdepan dengan pelbagai ancaman kesan daripada keputusan Amerika Syarikat yang dikeluarkan oleh Presidennya yang telah mengiktiraf Al-Quds sebagai ibu negara Zionis.
  2. Persidangan mengecam keganasan dan tindakan melampau yang dibuat oleh Zionis yang menahan dan menyekat para ulama Palestin untuk hadir ke persidangan ini. Negara-negara Islam diseru supaya menganjurkan pelbagai persidangan dan perjumpaan untuk membantu Al-Quds, Masjid Al-Aqsa serta penduduk Palestin sebagaimana yang telah dilakukan oleh Malaysia.
  3. Persidangan menzahirkan penolakan terhadap kenyataan Presiden Amerika yang diibaratkan seperti menjolok sarang tebuan dan bertegas bahawa Al-Quds adalah ibu negara Palestin dan ia adalah hak bagi seluruh umat Islam. Persidangan juga bertegas ke atas kenyataan ini kerana ia adalah kenyataan yang bukan sahaja tidak patuh syariat bahkan melanggar undang-undang serta bercanggah dengan perjanjian-perjanjian dan perundangan antarabangsa kerana ia adalah perjanjian daripada pihak yang tidak berautoriti.
  4. Persidangan menghargai pendirian jumhur ulama yang membantah kenyataan Presiden Amerika berkenaan isu Al-Quds. Persidangan juga menggesa supaya seluruh negara Islam meneruskan pendirian mereka untuk terus melakukan penentangan.
  5. Persidangan menegaskan bahawa HARAM bersekongkol dengan sebarang usaha yang dibentuk dengan Kerajaan Zionis dalam apa juga bentuk sama ada dalam bidang politik, ekonomi, pengetahuan dan juga media sama ada secara langsung mahupun tidak. Juga persidangan menyeru untuk memutuskan segera sebarang bentuk hubungan yang wujud secara langsung dengan kerajaan Zionis ataupun dengan pihak yang ada hubungkait dengan Zionis di pelbagai peringkat sama ada bidang politik atau ekonomi serta menyeru untuk menyenaraikan mana-mana individu dan organisasi yang mendapat sebarang bentuk bantuan daripada kerajaan Zionis seterusnya memberi amaran kepada mereka serta memutuskan hubungan dengan mereka.
  6. Persidangan memberi perhatian penuh terhadap Memorandum Ulama Dunia dalam berhadapan dengan normalisasi secara holistik. Persidangan juga menyeru para ulama, ahli politik dan pihak-pihak yang berautoriti supaya memberi perhatian dan komitmen dari sudut pemikiran, budaya dan pendidikan. Persidangan juga menggesa supaya biro-biro pelaksanaan dibentuk bagi tujuan memboikot normalisasi hubungan Zionis dengan negara-negara Islam.
  7. Persidangan menuntut pihak berkuasa Palestin agar bersatu padu dengan gerakan-gerakan pembebasan serta menghentikan segala bentuk hubungan dan perjanjian antara rejim Zionis dan pentadbiran Amerika Syarikat.
  8. Persidangan menggesa Negara-negara Islam supaya bersatu padu antara satu sama lain dalam memperkasakan ruang perdagangan dan ekonomi, antaranya menyokong projek wakaf, penempatan, pendidikan dan aktiviti-aktiviti lain.
  9. Persidangan menghargai usaha yang dilakukan antara Malaysia – Turki dengan institusi Al-Quds dalam penganjuran pelbagai persidangan ke arah memperkukuhkan usahasama dengan seluruh negara Islam dari segala aspek termasuklah sosial, ekonomi, kebudayaan, agama dan sebagainya.
  10. Persidangan juga memberi penghormatan kepada saudara kami di Palestin yang melaksanakan kawalan di Al-Quds dan Al-Aqsa, serta kepada para mujahidin di Palestin. Dan persidangan juga menzahirkan rasa hormat kepada para tahanan khususnya kepada keluarga Asy- Sheikh Raid Solah yang berada dalam tahanan rejim Zionis. Dan persidangan menegaskan bahawa para Ulama serta para pendakwah berdiri dalam satu saf bersama dengan mereka dalam menghadapi rejim Zionis sehingga mencapai kemenangan dan pembebasan dengan izin Allah S.W.T.
  11. Persidangan juga menolak sebarang perjanjian termasuk Perjanjian Oslo dan persepakatan lain yang tidak membawa keuntungan kepada umat Islam.
  12. Persidangan menyeru kepada sektor pendidikan di setiap negara untuk menjadikan isu Palestin sebagai sebahagian daripada silibus pengajaran dan pembelajaran serta dibantu oleh saluran penerangan secara holistik dalam mempertingkatkan kesedaran tentang Al-Quds.
  13. Persidangan kali ini turut mencadangkan supaya tahun 2018 diisytihar sebagai عام القدس (Tahun Al-Quds) dan menyeru umat Islam menyediakan pelan tindakan untuk membebaskan Palestin melalui pembentukan jawatankuasa bersama di antara badan-badan ulama dan institusi-institusi mereka untuk melaksanakan pelan tersebut secara menyeluruh.
  14. Persidangan menyeru agar dilancarkan program di bawah anjuran para ulama untuk memberikan kesedaran sehingga terbebasnya Palestin di arena tempatan dan antarabangsa. Persidangan juga turut menyeru supaya satu jawatankuasa bersama dibentuk untuk memastikan segala tindakan dan keputusan ini dapat dijalankan.

Akhirnya, persidangan merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan kepada seluruh perwakilan yang terlibat dalam persidangan pada kali ini. Semoga segala amalan kita berada dalam timbangan yang berat di sisi Allah S.W.T.

Yayasan MyAQSA
Kesatuan Ulama Islam Sedunia
Kesatuan Ulama Palestin Diaspora

The post Resolusi Persidangan Meja Bulat MyAqsa Ulama Sedunia Mengenai Baitulmaqdis appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Related

TERKINI 8561714359749510237

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item