RM15 modal awal ‘Jeruk Pak Ali’

ALOR SETAR, 3 Jamadilawal 1439H, Sabtu – Kisah kejayaan pengeluar jeruk terkenal Pulau Pinang, Pak Ali, adalah antara sorotan utama yang diketengahkan pada karnival kewangan Bank Negara Malaysia (BNM), bagi berkongsi kejayaan syarikat itu kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengarah Urusan Pak Ali Industries Sdn Bhd, Alias Ali berkata, bermula daripada hanya perniagaan kecil-kecilan dengan berbekalkan wang saku sebanyak RM15, perusahaan Pak Ali kini telah berkembang pesat hingga berjaya menembusi pasaran antarabangsa seperti Brunei, Singapura dan malahan hingga ke Ireland.

Alias berkata, kerajaan menerusi beberapa agensinya telah menyediakan banyak insentif kepada PKS untuk membantu mereka mengembangkan perniagaan.

Justeru, katanya, syarikat tempatan perlu berusaha keras untuk meningkatkan perniagaan mereka agar kekal relevan serta dapat mengekalkan pendapatan mereka.

“Saya dan anak-anak banyak menghadiri kursus dan program dikendalikan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) umpamanya, dan di situlah kami menimba ilmu untuk memperbaiki kualiti produk dan pada masa yang sama mempelajari perkara baharu.

“Kini semuanya banyak dilakukan secara automatik di mana ianya dapat dikawal melalui telefon bimbit,” katanya kepada pemberita pada karnival yang berlangsung selama tiga hari itu yang bermula semalam.

Beliau berkata, syarikat itu banyak menggunakan teknologi dalam mempercepatkan proses perniagaannya, terutama untuk mengira stok dan akaun.

Bagaimanapun, Alias menegaskan syarikat itu masih terus menggunakan tenaga kerja kerana ia mahu berkongsi pendapatan dengan mereka.

“Buah-buahan kami masih lagi dipotong secara manual iaitu menggunakan pekerja tempatan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada teknologi moden. Ini kerana kami mahu membantu meningkatkan taraf hidup orang kampung.

“Bermula dengan pekerja seramai enam orang pada tahun 2009, kami kini mempunyai lebih daripada 400 orang pekerja dan mereka berjaya memperoleh pendapatan sehingga RM3,000 sebulan,” katanya.

Alias berkata, selain jeruk buah-buahan (sebanyak 28 jenis) , syarikat Pak Ali turut menjual produk lain termasuk dodol, jus buah pala, sos rojak dan sambal ikan bilis.

Katanya, syarikat itu kini menjual lebih kurang 300 tan jeruk setiap bulan (berbanding 10 tan pada tahun 2009) melalui 50 stokis di seluruh negara.

Syarikat tersebut pada tahun lepas telah dinobatkan sebagai pemenang utama Anugerah Agropreneur Cemerlang dalam Majlis Anugerah Agropreneur Agrobank (AAA) 2017. – Bernama

The post RM15 modal awal ‘Jeruk Pak Ali’ appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian