Sabar itu indah

YA, sabar itu indah rupanya. Ia kerja jiwa. Kesannya mempersona manusia. Dan ia juga satu kemahiran!

Sepertimana menunggang basikal, bermain bola dan mengurus perniagaan, sabar juga merupakan satu kemahiran yang boleh dilatih. Malah terdapat teknik dan pendekatan yang khusus untuk menguasainya dan menjadikannya sebahagian daripada sikap semulajadi anda.

Mari saya konsikan beberapa tips mudah untuk menguasainya:

1. Berdoa secara konsisten: Amalkan bukan sahaja setiap kali selepas solat, malah pada setiap masa. Ini merupakan teknik paling penting bagi menguasai kemahiran atau akhlak sabar. Di sini saya kongsikan beberapa doa yang terbaik daripada Al-Quran bagi memohon kesabaran:

“Wahai Tuhan Kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami dan wafatkanlah kami dalam keadaan berserah diri” (Al-A’raf: 126)

“Wahai Tuhan Kami, limpahkanlah kesabaran ke atas diri kami, dan kukuhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir” (Al-Baqarah: 250)

Terdapat juga beberapa doa berkaitan yang sering meniti di bibir Rasulullah s.a.w seperti:

“Wahai Zat Yang Maha Membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu.” (Hadith riwayat At-Tirmizi)

“Ya Allah, Zat Yang Mengarahkan hati, arahkanlah hati-hati kami untuk selalu taat kepada-Mu.” (Hadith riwayat Muslim)

Mari kita hayati juga doa yang paling syahdu diucapkan ketika Nabi s.a.w setelah dihalau, dihujani batu dan berdarah teruk ketika berdakwah ke Kota Thaif:

“Ya Allah, kepada-Mu aku mengadukan kelemahan-kelemahanku, ketidak berdayaanku, dan kehinaanku di hadapan manusia. Wahai yang Maha Pengasih di antara yang mengasihi! Engkau Tuhan orang-orang yang lemah dan Engkau adalah Tuhanku. Kepada siapakah Engkau hendak menyerahkan diriku? Kepada orang-orang asing yang bermuka masam terhadapku atau kepada musuh yang Engkau takdirkan akan mengalahkanku?”

“Ya Allah, Sekiranya engkau tidak murka kepadaku maka aku tidak peduli. Namun, afiatmu sudah cukup buatku. Aku berlinding dengan nur wajah-Mu yang menerangi segala kegelapan dan teratur diatas nur itu urusan dunia dan akhirat, daripada engkau menurunkan kemarahan-Mu kepadaku atau Engkau murka kepadaku. Kepada-Mu aku tetap merayu sehingga Engkau reda. Tiada sebarang daya (untuk melakukan kebaikan) dan tiada upaya (untuk meninggalkan kejahatan) kecuali atas perkenan-Mu.”

2. Susun masa dan rancang aktiviti harian: Lakukan ia dengan efektif. Salah satu sebab utama manusia hilang sabar ialah kerana keadaan tergesa-gesa. Sebagai contoh, kita biasanya tertekan di atas jalan raya yang sesak ketika sudah terlewat untuk ke destinasi.

Begitu juga halnya dengan pelajar yang sedang sibuk menyiapkan tugasan pelajaran yang telah tertunggak lama dan perlu dihantar esok. Secara naluri, pelajar tersebut akan mudah hilang sabar terhadap apa sahaja yang berlaku ketika saat genting sebegitu.

3. Kawal minda anda daripada pemikiran negatif dan sangkaan buruk: Caranya mudah, setiap kali terlintas sekecil-kecil perkara negatif dalam kepala anda, cepat-cepat tukarkannya dengan sesuatu yang positif. Berikan seribu satu alasan atau justifikasi sebelum anda bersangka buruk terhadap orang lain.

Tangguhkan penilaian, lihat manusia lain dengan pandangan rahmat dan penuh kasih sayang. Contohnya jika anda pulang dari kerja dan lihat rumah bersepah dan keadaan anak tidak terurus, jangan terus menerpa dan menengking isteri.

Fikirkan seribu satu alasan terlebih dahulu. Mungkinkah dia tidak sihat? Atau mungkin ada urusan kecemasan yang perlu ditangani? Atau mungkin dia terlalu letih kerana tidak cukup tidur menjaga bayi kecil yang tidak sihat?

Ir. Hj. Muhammad Lukman Al Hakim Bin Muhammad
Kluster Tarbiah ISMA

The post Sabar itu indah appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?