SEKAI 2017 asah ‘soft skills’ para peserta
Dalam usaha untuk mendekati masyarakat Malaysia di bumi matahari terbit ini, khususnya para pelajar, Isma Jepun tidak terkecuali untuk menganjurkan program-program bermanfaat yang dapat membangunkan sahsiah pelajar. Bertempat di Hachioji pada 28 Disember 2017 yang lalu, ISMA Jepun telah menganjurkan program Seminar Kemahiran Insaniah atau singkatannya, SEKAI dengan membawa beberapa penceramah hebat dari tanah air, Malaysia untuk berkongsi ilmu dan pengalaman. Mereka ialah Ir Haji Lukman Al Hakim, Encik Khairudin Mohd Ali dan Puan Rashidah Arsyad.
Berobjektifkan pembangunan ‘soft skills’ dalam diri, Ir Haji Lukman Al Hakim yang merupakan Pengasas dan Perunding Utama Ultra Mind Academy mengetengahkan kemahiran ‘reverse thinking’ yang mampu melatih para pelajar untuk berfikir di luar kotak dan menyelesaikan banyak masalah kerana beliau melihat ramai pelajar luar negara gagal berfikir dengan baik. Menurutnya lagi, ‘self-awareness’ atau kesedaran diri merupakan faktor terpenting untuk berjaya dalam apa-apa sahaja bidang yang diceburi. Dengan ‘self-awareness’ dan ‘passion’ yang tinggi, seseorang akan melakukan apa sahaja untuk berjaya.
Di samping itu, bagi memberi gambaran kepada para pelajar akan realiti dan cabaran kehidupan pascabelajar, Encik Khairudin Mohd Ali yang merupakan seorang akauntan bertauliah dan isterinya, Puan Rashidah Arsyad berkongsi pengalaman mereka dan tips untuk menyediakan diri sebelum kembali ke tanah air. Menurut mereka, adalah penting untuk para pelajar menggarap ilmu pengetahuan sebanyak mungkin, melengkapkan diri mereka dengan ‘soft skills’ seperti kemahiran temu duga dan ‘presentation’, dan mempunyai perancangan kewangan yang baik. Tambahan lagi, adalah penting untuk para pelajar memikirkan apa yang mereka mahukan daripada hidup ini dan bagaimana untuk menjalani kehidupan sebagai seorang yang beragama Islam.
Program ini dihadiri oleh para pelajar daripada seluruh Jepun dan rata-ratanya berpuas hati dengan kandungan program ini. Menurut Amalina, pelajar Tokai University yang merupakan salah seorang peserta berkata, persediaan-persediaan pascabelajar dan kemahiran ‘reverse thinking’ yang diketengahkan sangat membantu dan membuka mindanya.
Diharapkan melalui program seperti ini, Isma Jepun akan lebih dikenali dalam kalangan pelajar Malaysia di Jepun terutamanya sebagai persatuan pelajar yang aktif menganjurkan aktiviti yang dapat membangunkan sahsiah pelajar.
Nuril Hannani binti Aminuddin
Biro Media Isma Jepun
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan