ismakualaterengganu

Semarakkan Bahasa Melayu, titah Raja Muda Perlis

TRANG (Thailand), 25 Rabiulakhir 1439H, Sabtu – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar usaha menyemarakka...

TRANG (Thailand), 25 Rabiulakhir 1439H, Sabtu – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar usaha menyemarakkan Bahasa Melayu menerusi pelbagai jalinan kerjasama, diteruskan pada masa depan.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah kerjasama strategik antara Perlis dan Thailand misalnya, bukan sahaja mampu menjalinkan ukhwah malah dapat memartabatkan Bahasa Melayu sebagai medium komunikasi serantau yang dapat mengungkapkan pemikiran, perasaan dan keperluan bersama.

“Bahasa merupakan satu medium komunikasi dan keindahan bahasa yang disulami dengan keindahan budi serta hikmah bicara merupakan salah satu ciri kehalusan Bahasa Melayu,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Majlis Penutup Program Semarak Bahasa Melayu di sini, malam tadi.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil diiringi anakanda baginda, Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Program tahunan itu merupakan anjuran bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Dewan Bahasa dan Pustaka, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Teknologi Mara Perlis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Kolej Universiti Islam Perlis dan Institut Pendidikan Guru Kampus Kangar.

Menerusi program itu, para guru dari beberapa sekolah terpilih di wilayah Trang, diberi pengetahuan asas Bahasa Melayu bagi meningkatkan kemahiran komunikasi dalam bahasa itu.

Tuanku Raja Muda juga berharap agar program berkenaan dapat diperkembangkan dalam kalangan pelajar sekolah pada masa depan.

“Oleh itu kerjasama perlu dipertingkatkan demi iltizam memartabatkan Bahasa Melayu,” titah baginda. – Bernama

The post Semarakkan Bahasa Melayu, titah Raja Muda Perlis appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Related

TERKINI 6876566843185999243

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item