ismakualaterengganu

Seorang jemaah umrah disahkan dijangkiti MERS-CoV

PUTRAJAYA, 13 Rabiulakhir 1439H, Isnin – Seorang lelaki disahkan dijangkiti penyakit Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-Co...


PUTRAJAYA, 13 Rabiulakhir 1439H, Isnin – Seorang lelaki disahkan dijangkiti penyakit Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV) selepas pulang daripada mengerjakan umrah.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata lelaki berusia 55 tahun dari Selangor itu mengalami gejala demam, batuk, lemah badan, lelah dan sakit kaki sejurus tiba di tanah air pada 23 Dis lepas.

Katanya pesakit mendapatkan rawatan di klinik berhampiran rumahnya sehari selepas itu dan menerima rawatan sebagai kes demam sebelum hadir ke Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada malam 28 Dis dan ditahan di wad hospital itu untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Mengambil kira sejarah perjalanannya yang baru kembali daripada menunaikan umrah, ujian saringan MERS-CoV dijalankan dan didapati positif, masing-masing bagi ujian saringan yang dijalankan oleh Hospital Sungai Buloh pada 30 Dis serta ujian pengesahan yang seterusnya dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan pada 31 Dis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pesakit dirujuk ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut dan keadaannya kini stabil.

Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan termasuk pengesanan serta pemantauan ke atas kontak pesakit seperti anggota keluarga, jemaah umrah dalam kumpulan sama, anggota kesihatan di fasiliti yang merawat serta kontak rapat di dalam pesawat yang dinaiki pesakit.

Amalan pencegahan dan kawalan infeksi dalam kalangan anggota kesihatan juga telah ditingkatkan pada semua peringkat di samping pemantauan terhadap status kesihatan anggota kesihatan yang terlibat dalam mengendalikan kes berkaitan, katanya.

Bagi mengelak kejadian jangkitan MERS-CoV, Noor Hisham menasihatkan orang awam yang mengerjakan umrah atau ingin melawat negara di rantau Timur Tengah supaya mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan terutamanya selepas batuk, bersin atau selepas bersalaman.

Mereka juga dinasihatkan tidak mengunjungi kediaman atau institusi penjagaan kesihatan yang terlibat dalam kejadian jangkitan wabak MERS-CoV di negara tersebut; mengelak melawat ladang haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan khususnya unta serta mengambil iaitu memakan atau meminum sebarang produk mentah atau tidak dimasak dengan sempurna yang melibatkan unta.

“Mereka yang kembali daripada lawatan ke negara-negara yang terlibat, khususnya negara di rantau Timur Tengah diminta mendapatkan rawatan dengan kadar segera, sekiranya mengalami gejala demam dan jangkitan respiratori seperti batuk dan kesukaran bernafas, khususnya dalam tempoh 14 hari setelah tiba di tanah air,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan jangkitan MERS-CoV boleh melayari laman sesawang KKM di www.moh.gov.my atau melalui Facebook CPRC Kebangsaan (Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis). – Bernama

The post Seorang jemaah umrah disahkan dijangkiti MERS-CoV appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Related

TERKINI 1940395299382682639

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item