SUAMI BUKAN MALAIKAT ISTERI BUKAN BIDADARI

 

Shah Alam, 16 Januari 2018 – Seminar Keluarga Dakwah anjuran Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) ISMA Shah Alam telah berlangsung di Dewan Ara Partners Event Place, Taman Melawati Kuala Lumpur. Seramai 25 pasangan yang telah berumah tangga dari cawangan Shah Alam telah menghadiri program yang bertemakan “ Suami Bukan Malaikat, Isteri Bukan Bidadari.”

Objektif utama penganjuran program ini adalah menegenali dan memahami perbezaan karakter pasangan, merancang pendidikan dan kemenjadian anak-anak, mengetahui dan memahami solusi kepada cabaran dalam keluarga dakwah dan menetapkan objektif, matlamat serta tindakan sejajar dengan model keluarga dakwah bahagia.

Seminar telah dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-quran yang telah dialunkan oleh ustaz Ali Zaki. Seterusnya disusuli dengan ceramah dari Prof Dato’Dr Ir Badrulhisham Abdul Aziz yang bertajuk “ Lelaki Dari Marikh, Perempuan Dari Zuhrah”. Isi ceramah beliau banyak berkisar tentang corak komunikasi yang berkesan dengan mengambil kira perbezaan watak antara suami isteri.

Menurut beliau prinsip komunikasi yang perlu difahami ialah wanita berkomunikasi untuk meluahkan perasaan, meminta difahami dan disayangai manakala lelaki berkomunikasi untuk mencari solusi dan mendapatkan penghormatan.

Seminar diteruskan dengan slot kedua iaitu ceramah bertajuk “ Aset Mu Aset Ku Jua” yang telah disampaikan oleh penerima anugerah Tokoh Keluarga Dakwah ISMA, Pn. Hajjah Rokiah Aziz. Beliau menekankan kepada semua pasangan supaya mengambil berat dan merancang sebaiknya pendidikan anak-anak.

Beliau turut berkongsi pengalaman meyekolahkan semua anak mereka di sekolah swasta yang menekankan aspek agama. Pendidikan yang diberikan kepada anak-anak mereka memakan banyak perbelanjaan walhal sumber kewangan keluarga sangat terhad. Di sinilah pengorbanan yang dilakukan iaitu mengutamakan keperluan pendidikan anak-anak dari yang lain.

Forum bertajuk “Sedangkan Lidah Lagi Tergigit”telah membongkar realitI kehidupan bagi sebuah keluarga dakwah yang tidak lari dari masalah dan cabaran. Forum ini telah dikendalikan oleh Dr Nazre Rashid sebagai moderator , manakalah Prof Dato’ Dr Ir Badrulhisham Abdul Aziz dan isteri Datin Hajjah Noorzaimeen Abdul Khadir selaku panelis. Prof Bad telah berkongsi bahawa hampir setiap minggu sentiasa berulang alik dari Jeli ke Kuala Lumpur atas urusan dan tuntutan dakwah.

Namun semuanya diteruskan dengan tekad lillahitaala. Di situlah lahirnya keberkatan untuk keluarga dakwah. Keberkatan masa, keberkatan anak-anak soleh dan lain-lain lagi. Forum diakhiri dengan kesimpulan dari kedua-dua panel. Hajjah Zaimeen mengingatkan semua agar kembali dan kuatkan hubungan dengan Allah s.w.t. Manakala Prof Bad menyeru kepada pasangan untuk menikmati perkahwinan sebaiknya.

Program diteruskan dengan slot khas bertajuk “ Tariklah Daku ke syurga” . Slot ini telah dimulakan dengan tayangan video kompilasi harapan-harapan suami dan isteri. Dalam slot ini peserta diminta duduk bersama dan membaca surat dari pasangan masing-masing yang telah disiapkan sebelum program. Setelah itu mereka diberi masa untuk mencurahkan segala isi hati dan luahan rasa serta harapan kepada pasangan masing-masing.

Sesi ini memberi peluang kepada pasangan memuhasabah dan menetapkan objektif serta perancangan keluarga. Peserta telah diminta menulis harapan suami dan isteri dalam rumahtangga, kerjaya dan dakwah. Diharapkan semua pasangan rasa lapang dada dan pulang melakar sesuatu yang penting bagi kemenjadian keluarga dakwah yang bahagia.

Sebelum seminar melabuhkan tirai, acara penyampaian hadiah telah diadakan. Beberapa hadiah cabutan bertuah telah diberikan kepada mereka yang bertuah. Hadiah juga diberikan kepada kategori-kategori tertentu iaitu pasangan paling awal tiba, pasangan paling sedondon, pasangan paling senior dan pasangan yang baru berumah tangga.

Di penghujung program, peserta mendengar ucapan penutup dari Ketua Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) ISMA Shah Alam, Haji Fakrur Radzi Mohd Omar. Beliau berharap semua peserta dapat mengambil manfaat dari perkongsian-perkongsian penceramah dan jemputan.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian