Syor penjara mandatori lebih lama terhadap pemandu tak berhemah
KUALA LUMPUR, 18 Rabiulakhir 1439H, Sabtu – Kerajaan digesa memperkenalkan hukuman mandatori penjara lebih lama terhadap pemandu yang dibuktikan cuai dan tidak berhemah sehingga membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.
Menyatakan gesaan itu, ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ia perlu supaya sikap pemanduan tidak berhemah terutama dalam kalangan pemandu kenderaan berat dapat dikekang.
“Sekiranya kerajaan dan agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak mengambil tindakan tegas dan drastik terhadap ‘pembunuh’ yang jelas kelihatan ini, kematian akibat kemalangan mungkin tidak akan berakhir.
“Langkah radikal itu juga dapat menangani peningkatan kes kemalangan jalan raya akibat kecuaian pemandu sendiri,” katanya seperti dilapor BH Online.
Pada masa ini, Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 10 tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM20,000 bagi kesalahan berkenaan.
Justeru, beliau berkata, cadangan hukuman penjara mandatori lebih panjang adalah tepat pada masanya kerana nasib penumpang dan orang awam kini seolah-olah bergantung kepada ‘belas ehsan’ pemandu bas dan kenderaan berat.
Beliau percaya, tindakan tegas perlu untuk menangani masalah itu dengan menimbulkan perasaan bertanggungjawab dalam kalangan pemandu, terutama pemandu kenderaan berat.
“Mereka perlu tahu bahawa mereka boleh dipenjara jika didapati bersalah memandu secara melulu dan mengakibatkan kematian penumpang atau pengguna jalan yang lain,” katanya.
The post Syor penjara mandatori lebih lama terhadap pemandu tak berhemah appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan