Tambahan RM3 tiket feri Langkawi ditangguh selepas dapat bantahan ramai
BANGI, 14 Rabiulakhir 1439H, Selasa – Harga tambang feri ke Langkawi yang dinaikkan RM3 bermula semalam, ditangguhkan buat sementara waktu.
Tambahan RM3 itu adalah bagi perjalanan sehala sama ada dari jeti Kuala Kedah atau Kuala Perlis.
Tindakan itu mendapat bantahan orang ramai kerana kadar kenaikannya dianggap mendadak dan terlalu tinggi.
Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain hari ini memaklumkan, pihaknya sudah meminta Jabatan Laut dan pengusaha feri menangguhkan terlebih dahulu caj perkhidmatan RM3 berkenaan.
Katanya, beliau menghubungi Pengarah Laut Wilayah Utara, Kapten Abdul Samad Shaik Osman, bagi memohon pertimbangan daripada jabatan terbabit dan pengusaha feri.
“Kapten Abdul Samad menyatakan kesediaannya untuk berbincang kembali dengan pengusaha feri bagi menyampaikan hasrat kerajaan negeri, Alhamdulillah, hari ini harga tiket di kaunter kembali normal.
“Dalam perbincangan melalui telefon itu, saya juga meminta supaya Jabatan Laut dan pengusaha feri melakukan rundingan dengan kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum membuat keputusan menaikkan harga tiket,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
The post Tambahan RM3 tiket feri Langkawi ditangguh selepas dapat bantahan ramai appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan