Tiada rakyat Malaysia terjejas dalam tunjuk perasaan di Iran
KUALA LUMPUR, 15 Rabiulakhir 1439H, Rabu – Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas teruk setakat ini dalam siri tunjuk perasaan terkini di Iran, menurut Kementerian Luar.
Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu berkata, ia memantau rapi perkembangan di Iran dan menasihati rakyat Malaysia yang berada di negara itu atau bercadang melakukan perjalanan ke Iran agar sentiasa berwaspada.
“Ini bermakna mereka perlu, antara lain, meningkatkan kepekaan terhadap keadaan di sekeliling mereka pada setiap masa dan memberi perhatian khusus ketika menghadiri majlis besar-besaran atau berada di tempat yang penuh sesak,” katanya.
Mereka juga perlu mengikut perkembangan mutakhir liputan media tentang peristiwa yang berlaku di dalam negara berkenaan dan memberi pertimbangan kepada perkembangan itu semasa merancang perjalanan.
Kementerian itu turut mengingatkan rakyat Malaysia yang tinggal di Iran supaya mendaftarkan butiran diri mereka dengan kedutaan Malaysia di Tehran supaya mereka mudah dihubungi jika perlu.
Menurut laporan, sekurang-kurangnya 21 orang terkorban dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dan tentera kerajaan di Iran.
Tunjuk perasaan yang bermula Khamis lepas di bandar Mashhad itu pada awalnya berpunca daripada kemarahan terhadap kenaikan harga barang dan rasuah sebelum merebak kepada anti kerajaan.- Bernama
The post Tiada rakyat Malaysia terjejas dalam tunjuk perasaan di Iran appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan