Tingkatkan lagi penggunaan bahasa Melayu di mahkamah: Zainul Rijal
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 17 Rabiulakhir 1439H, Jumaat – Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mahu tahap penggunaan bahasa Melayu di mahkamah dipertingkatkan lagi.
Ini kerana, katanya, di mahkamah-mahkamah atasan seperti mahkamah tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, penggunaan bahasa Melayu masih lagi asing dan kebanyakannya menggunakan bahasa Inggeris.
Hanya, mahkamah-mahkamah rendah seperti Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen yang memang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama mereka.
Malah, beliau memberitahu, apabila sesuatu prosiding itu dilakukan dalam bahasa Melayu, terdapat persepsi seolah-olah peguam tersebut adalah peguam kelas kedua dan tidak dapat mengendalikan perbicaraan dengan baik.
“Walaupun ia tidak tersurat tetapi persepsi ini amat dirasai oleh kalangan peguam yang ingin mengendalikan prosiding mahkamah dalam bahasa Melayu. Persepsi ini harus dikikis daripada kalangan peguam dan hakim.
“Kenapakah perkara sebegini masih berlaku? Seolah-olah terdapat penolakan terhadap penggunaan bahasa Melayu di mahkamah.
“Tidak lain tidak bukan ia disebabkan oleh sikap para hakim dan peguam itu sendiri. Sebahagian peguam dan hakim tidak dapat menerima hakikat kedudukan bahasa Melayu di sisi Perlembagaan Persekutuan.
“Ini jelas dilihat apabila prosiding mahkamah masih berterusan menggunakan bahasa Inggeris. Ramai mengatakan bahawa bahasa Melayu tidak mempunyai perkataan tepat bagi mentafsirkan sesuatu.
“Oleh yang demikian ia tidak sesuai dijadikan bahasa pengantara di mahkamah. Hujahan ini tidak dapat diterima kerana jika kita tidak memberi ruang dan peluang kepada bahasa Melayu dibangunkan, bagaimanakah laras bahasa Melayu itu akan berkembang?,” soalnya dalam satu artikel yang disiarkan di Sinar Online.
Mengulas lanjut, beliau berkata, keadaan ini sebenarnya janggal apatah lagi setelah mengambil kira bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara sebagai-mana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Walhal, para hakim dan peguam telah disyaratkan mendapat sekurang-kurangnya kepujian dalam Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia sebelum boleh diterima masuk sebagai peguam ataupun menyertai sektor perundangan dan kehakiman
“Mengikut undang-undang naskhah sahih undang-undang selepas 1965 ada versi telah ditulis dalam bahasa Melayu. Naskhah bahasa Inggeris tidak lagi dijadikan naskhah sahih sejak dari tahun tersebut melainkan beberapa undang-un-dang tertentu.
“Seharusnya para peguam dan hakim merujuk kepada naskhah sahih versi bahasa Melayu dalam prosiding mahkamah dan bukan terjemahan dalam bahasa Inggeris,” tegasnya.
Pada masa sama, beliau turut memuji para hakim yang masih menggunakan bahasa Melayu dalam menjalankan tugas.
“Tidak dinafikan ada juga hakim-hakim di mahkamah atasan yang bertegas mengarahkan perbicaraan dijalankan dalam bahasa Melayu.
“Pujian harus dirakamkan buat hakim-hakim tersebut. Lebih ramai lagi hakim perlu melakukan perkara yang sama dan menulis penghakiman mereka dalam bahasa Melayu. Lebih ramai lagi peguam yang perlu tampil di hadapan hakim dan berbicara dalam bahasa Melayu.
“Undang-undang telah pun mengiktiraf bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Semua undang-undang harus dihormati tanpa mengira sama ada kita suka ataupun sebaliknya,” katanya.
The post Tingkatkan lagi penggunaan bahasa Melayu di mahkamah: Zainul Rijal appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan