Tokong tempat proses dadah RM1.4 juta

JOHOR BAHRU, 4 Jamadilawal 1439H, Ahad – Polis menahan dua lelaki tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah serta peralatan dan bahan memprosesnya yang dianggarkan bernilai RM1.4 juta dalam serbuan di sebuah tokong di Muar, dekat sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, penahanan kedua-dua suspek berusia 31 dan 41 tahun itu dilakukan kira-kirajam 4.30 petang ketika polis menyerbu tokong itu yang terletak di Jalan Sulaiman.

Dalam serbuan itu, katanya, polis menemukan sebanyak 13.4445 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 362.30 gram ketamin, 299.30 gram ganja dan 53.00 gram syabu.

“Polis turut menjumpai bahan dan peralatan memproses dadah seperti satu botol cecair ‘Acetone’, dua botol cecair alkohol, tiga botol pewarna, sembilan unit bentuk logam mencetak pil, dua unit alat pengisar, satu unit ketuhar gelombang mikro dan dua unit lampu holagen,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Polis juga menyita pelbagai harta berjumlah RM54,000 termasuk wang tunai sebanyak RM4,000 dan tiga kenderaan iaitu jenis Myvi, Isuzu Trooper dan Proton Perdana.

Mohd Khalil berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek memiliki rekod lampau berkaitan dadah selain mereka juga positif dadah jenis methamphetamine.

“Polis masih menyiasat tempoh suspek aktif dalam kegiatan itu dan percaya dadah yang dihasilkan adalah untuk pasaran tempatan,” katanya.

Kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 26 Januari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan.

Mohd Khalil berkata, sejak awal tahun ini, seramai 832 orang telah ditahan atas kesalahan berkaitan dadah dengan jumlah rampasan sebanyak 33.64 kg bernilai RM2.24 juta manakala harta yang disita bernilai RM839,495.45.

Tahun lalu, seramai 15,991 individu ditahan bagi kesalahan sama dan sebanyak 1,946.81 kg dadah bernilai RM57.99 juta turut dirampas serta menyita pelbagai harta bernilai RM19.08 juta.

Dalam perkembangan lain, Mohd Khalil menegaskan tiada kejadian culik dan pembunuhan kejam membabitkan seorang kanak-kanak berlaku di negeri ini, seperti yang ditularkan dalam laman sosial.

Beliau berkata, penyebaran gambar kononnya insiden itu hanya bertujuan untuk menimbulkan ketakutan dan kebimbangan orang ramai.

“Sehingga kini, kami masih menerima panggilan mengenai hal berkenaan. Saya ingin mengingatkan dan memberi amaran kepada masyarakat agar tidak sewenangnya menyebar dan membuat spekulasi palsu kerana perbuatan itu menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan,” katanya. – Bernama

The post Tokong tempat proses dadah RM1.4 juta appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian