Touch ‘n Go dapat kelulusan BNM untuk e-dompet mudah alih
KUALA LUMPUR, 21 Rabiulakhir 1439H, Isnin – Anak syarikat CIMB Group Holdings Bhd, Touch ‘n Go Sdn Bhd (TNGSB), telah menerima kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memperkenalkan dan mengendali perkhidmatan e-dompet mudah alih.
Perkhidmatan yang menggunakan platform teknologi Alipay, akan diuruskan oleh TNG Digital Sdn Bhd, sebuah syarikat usaha samanya dengan Ant Financial Group (Ant Financial), kata CIMB dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Teknologi pembayaran Alipay daripada Ant Financial pada masa sekarang menyokong lebih daripada 450 juta pengguna di China.
E-dompet mudah alih ini akan membolehkan rakyat Malaysia menikmati pengalaman ekosistem pembayaran yang selamat, selesa dan lancar melalui penggunaan kod tindakan segera bagi membeli belah dalam talian, membuat pembayaran bil, runcit termasuk pemindahan dana dengan platform yang serupa.
Ketua Pegawai Eksekutif TNGSB, Syahrunizam Samsudin berkata syarikat menjangkakan pelanggan semasanya yang terdiri daripada pengguna tol lebuh raya, transit dan tempat meletak kenderaan akan mendaftar segera bagi menikmati tambahan dalam perkhidmatan berkenaan.
“Dalam menyokong aspirasi kerajaan untuk mempercepatkan pembentukan ekosistem pembayaran digital yang kukuh dan selamat, kami amat teruja selepas menerima kelulusan bagi e-dompet ini.
“Pada hari ini, Touch ‘n Go merupakan peneraju nombor satu dalam pembayaran mikro dan kami berpendapat bahawa tawaran ini merupakan penambahan dalam usaha memperkukuhkan cadangan nilai kami, dan seterusnya, mengerakkan negara serta pelanggan kami ke alam digital pembayaran,” katanya.
TNGSB memegang hak harta intelek sistem Touch ‘n Go, yang merupakan piawaian de facto kepada kad pintar tanpa sentuhan di Malaysia. Syarikat tersebut dimiliki oleh CIMB, MTD Equiti Sdn Bhd dan PLUS Expressways Bhd. – Bernama
The post Touch ‘n Go dapat kelulusan BNM untuk e-dompet mudah alih appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan