Turki mula serang militan Kurdis Syria
ISTANBUL, 3 Jamadilawal 1439H, Sabtu – Turki hari ini mengarahkan jet pejuangnya melakukan pengeboman ke atas kedudukan militan Kurdis, sambil anggota Tentera Pembebasan Syria (FSA) yang disokong Ankara memasuki wilayah Afrin di utara negara bergolak itu.
Perdana Menteri, Binali Yildirim berkata, serangan udara oleh angkatan tentera Turki ke atas kedudukan militan di Afrin sudah bermula.
Serangan udara itu diteruskan, walaupun rejim Bashar Al Assad mengancam untuk menembak jatuh pesawat pejuang Turki yang memasuki wilayahnya.
Lapan jet pejuang F-16 berlepas dari pangkalan tentera Diyarbakir dan mula mengebom beberapa sasaran utama di Afrin, tatkala anggota FSA memasuki wilayah itu dan bertempur dengan militan Syria-Kurdis PYD/YPG, lapor media tempatan.
Kempen serangan udara itu bermula sejurus Presiden Recep Tayyip Erdogan mengumumkan serangan tentera ke atas Afrin telah bermula.
Dalam ucapannya menerusi televisyen, Erdogan berkata, Turki akan memusnahkan koridor pengganas secara beransur-ansur seperti yang dilakukan dalam operasi Jarabulus dan El-bab.
“Serangan itu akan diikuti di Manbij,” katanya merujuk kepada salah satu kawasan lagi yang dikawal militan Kurdis di Syria.
Beliau sebelum ini memberi jaminan akan menghancurkan militan Kurdis Syria di Afrin yang dianggapnya boleh mengancam keselamatan Turki.
Tentera Turki berkata, serangan bom disasarkan ke kawasan persembunyian militan Parti Pekerja Kurdistan (PKK), PYD dan YPG.
Menteri Pertahanan Turki, Nurettin Canikli berkata, serangan meriam ke arah Afrin dimulakan semalam, ketika laporan menyatakan Russia sudah menarik keluar pemerhati tenteranya dari wilayah itu.
Russia sebelum ini menempatkan pemerhati tentera di Afrin sejak 2015, dan penarikan keluar mereka daripada wilayah itu adalah sebahagian daripada perjanjian dengan Turki, semalam.
Media Turki melaporkan kira-kira 180 pemerhati tentera Russia dikeluarkan daripada kedudukan mereka di Afrin dekat sempadan Turki, beberapa jam selepas unit artileri tentera darat Turki mula melakukan serangan ke arah militan Kurdis.
Laporan juga menyebut, Jeneral Ismail Metin Temel, yang diangkat sebagai wira ketika serangan tentera Turki di utara Syria pada 2016, mengetuai serangan ke atas Afrin. – Agensi
The post Turki mula serang militan Kurdis Syria appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan