Utusan tahu saya tak kata mufti kafir: Tun M

BANGI, 17 Rabiulakhir 1439H, Jumaat – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, beliau tidak mengatakan bahawa mufti sebagai kafir jika tidak menyertai PAS.

Namun, dakwanya, akhbar Utusan Malaysia telah sengaja menyalah tafsir kenyataan asalnya.

Perkara sebenar yang cuba disampaikan ialah jika mufti tidak menolak dakwaan PAS dan ‘Amanat Haji Hadi’ bahawa orang Islam yang bekerjasama dengan orang kafir menjadi kafir, maka mufti juga akan menjadi kafir kerana mereka tidak menyatakan penolakan mereka.

“Sehingga ke hari ini mufti tidak menolak dakwaan PAS dan Haji Hadi. Di Terengganu masih ada orang Islam yang percaya bahawa orang UMNO dan orang lain yang tidak menyertai PAS adalah kafir

“Hakikatnya ialah jika orang bukan PAS termasuk saya dianggap kafir, maka mufti juga boleh dikatakan kafir kerana tidak menyertai PAS. Jika ‘Amanat Haji Hadi’ diterima, mufti bekerja dan menjadi pegawai dalam Kerajaan Kafir. Benarkah?,” soalnya dalam posting di blognya, chedet.cc, semalam.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, mufti pada dasarnya tidak harus terlibat dengan politik.

Tetapi, apabila agama diperalatkan untuk politik dengan mengelirukan orang Islam, justeru, katanya, amatlah penting dan menjadi tanggungjawab mufti memberi penjelasan samada pendapat orang politik itu benar-benar berasas kepada Islam.

“Mufti bukan sebarang orang. Mufti bertanggungjawab menasihat raja dan rakyat berkenaan agama Islam. Menjadi tanggungjawab mufti memberi pendapat samada dakwaan PAS dan Haji Hadi benar atau tidak. ‘Amanat Haji Hadi’ dibuat kerana politik tetapi amanatnya memesongkan agama orang Islam.

“Oleh kerana mufti tidak memberi pendapat tentang pengkafiran ini, walaupun sanggup menafikan ajaran sesat Arqam Ashaari, Ayah Pin dan beberapa tokoh lain, maka ramailah orang Islam percaya dan taksub dengan dakwaan Haji Hadi dan PAS.

“Sehingga ada yang mendakwa ibu bapa mereka kafir, ada yang berkahwin sekali lagi, yang tolak makan sembelihan orang UMNO sebagai haram, sembahyang berasingan imam, mendiri masjid sendiri dan bermacam lagi kerana kononnya Kerajaan Malaysia kafir dan orang yang tidak menyertai PAS kafir,” katanya.

Terdahulu, dalam laporan bertarikh 31 Disember 2017, Utusan melaporkan bahawa Dr Mahathir terus menerus mencipta kontroversi dan membuat dakwaan yang cukup berat melibatkan para mufti.

Utusan menulis, Bekas Perdana Menteri selama 22 tahun yang terpalit dengan tragedi Memali itu bukan sahaja bertindak menyalahkan mufti dalam insiden tersebut malah menggelarkan mereka sebagai kafir.

Sementara itu, sehari sebelum laporan tersebut ditulis iaitu pada 30 Disember lalu ketika di Perhimpunan Agung Bersatu menegur, Mahathir pada asalnya menegur mufti-mufti di negara ini bertanggungjawab menasihati Sultan kerana gagal berperanan dengan baik dalam isu berkaitan PAS.

Beliau merujuk kegagalan para mufti dan ulama daripada menegur Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana mengeluarkan ‘amanat’ pada tahun 1981 yang menurutnya, menjadi punca tercetusnya peristiwa berdarah Memali, empat tahun kemudian.

The post Utusan tahu saya tak kata mufti kafir: Tun M appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian