Wanita Islam tanding jawatan Presiden Russia cabar Putin
MOSCOW, 16 Rabiulakhir 1439H, Khamis – Seorang wanita beragama Islam dari Dagestan, Aina Gamzatova mengesahkan akan bertanding merebut jawatan Presiden Russia dalam pilihan raya pada Mac depan.
Beliau akan bersaing dengan Vladimir Putin, yang sudah 18 tahun memegang tampuk pemerintahan Rusia.
Aina berusia 46 tahun adalah pemilik syarikat media Islam terbesar Russia, Islam.ru yang mempunyai stesen televisyen, radio dan media cetak.
Suaminya, Akhmad Abdulaev, adalah Mufti Dagestan, antara wilayah Russia yang bergolak ekoran perebutan antara pemberontak, suku kaum dan tentera kerajaan yang sudah mengorbankan ribuan orang.
Aina merupakan sebahagian anggota Sufi yang dipimpin Said-Afandi Chirkavi, yang mati dibunuh oleh pengebom bunuh diri pada 2012.
Keputusan Aina mendapat sokongan besar di Dagestan dan Caucasus Utara, sekali gus berupaya mencalarkan imej Putin dengan isu kadar pengangguran tinggi di wilayah berkenaan.
Aina berkata, tujuan beliau bertanding jawatan Presiden adalah demi agama dan umat Islam.
Katanya, beliau akan mempertahankan agama, bagi menampilkan saingan terbaik untuk Putin.
Terdahulu, Putin mengesahkan bertanding sebagai calon bebas bagi mengekalkan jawatannya. Putin dipilih sebagai Presiden Russia pada 2000 dan dipilih sekali lagi pada 2004. Dari 2008 hingga 2012, beliau telah berkhidmat sebagai Perdana Menteri.
Namun, pada 2012, Putin dipilih semula sebagai Presiden. Pada masa itu, kadar sokongan terhadap Putin adalah sekitar 80 peratus. – Agensi
The post Wanita Islam tanding jawatan Presiden Russia cabar Putin appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan