ismakualaterengganu

Anggota polis bantuan antara 29 ditahan kes culik pengurus

SHAH ALAM, 22 Jamadilawal 1439H, Khamis – Polis menahan 29 individu termasuk seorang anggota polis bantuan berumur 42 tahun yang disyaki an...

SHAH ALAM, 22 Jamadilawal 1439H, Khamis – Polis menahan 29 individu termasuk seorang anggota polis bantuan berumur 42 tahun yang disyaki antara perancang utama kes penculikan seorang pengurus syarikat di Bandar Baru Sungai Buloh, dekat sini pada Disember lepas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, kesemua suspek iaitu 24 lelaki termasuk dua warga Bangladesh dan lima wanita berumur dalam lingkungan 20 hingga 60 tahun ditahan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Perak antara 3 Januari hingga akhir bulan lepas.

“Tangkapan pertama melibatkan tiga lelaki pada 3 Januari lepas dan siasatan lanjut membawa kepada penahanan suspek-suspek lain. Hasil siasatan juga mendapati anggota polis bantuan terbabit berkhidmat di sebuah kementerian di Putrajaya selama enam tahun,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurut Mazlan, dalam kejadian pada 12 Disember lepas, seorang pengurus lelaki berusia 35 tahun diculik oleh sekumpulan lelaki menggunakan kereta perodua Myvi ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bandar Baru Sungai Buloh selepas selesai bekerja.

Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan ringan dibadan kemudian dibebaskan pada 3 Jan lepas di Bemban, Melaka setelah wang tebusan RM500,000 yang dituntut telah dibayar.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, pihaknya berjaya mendapatkan semula wang tebusan berjumlah RM124,400 daripada suspek, manakala dua buku akaun bank yang mengandungi wang berjumlah RM14,000 dibekukan di bawah AMLA (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram) .

“Dalam operasi ini, polis turut merampas sepucuk pistol palsu jenis revolver 3.8, peluru hidup 9mm 450 butir dan 40 butir peluru hidup winchester selain enam buah kenderaan jenis Proton Waja, Iswara, Ford Ranger, Perodua Myvi dan Viva.

“Dengan penahanan 29 suspek ini, polis berjaya menyelesaikan enam kes samun pengurup wang di Lembah Klang, satu kes bunuh di Kuala Lumpur dan satu lagi kes melarikan orang di Pandan Indah, Ampang, yang kesemuanya berlaku tahun lepas,” katanya.

Menurut Mazlan, 11 daripada 29 individu yang ditahan akan didakwa di Mahkamah Shah Alam esok di bawah Seksyen 3, Seksyen 5 dan Seksyen 10 Akta Culik 1961.

Dalam perkembangan kes lain, beliau berkata, polis memberi tempoh sehingga esok kepada seorang pelakon dan bekas penyanyi sebuah kumpulan R&B untuk tampil membantu siasatan berhubung laporan polis yang dibuat pelakon Datuk Farid Kamil Zahari.

Mazlan berkata, kedua-dua individu terbabit sehingga kini gagal untuk menghadirkan diri bagi memberi keterangan berhubung laporan polis tersebut.

Dalam laporan yang dibuat pada 31 Januari lepas, Farid Kamil yang juga pengarah filem mendakwa tiga rakan artis dipercayai telah meletakkan dadah ke dalam minumannya, menyebabkan dia bertindak di luar kawalan dan ditahan polis, dalam kejadian yang berlaku di Balai Polis Kota Damansara bulan lepas.

Semalam, seorang pelakon lelaki yang turut dinamakan dalam laporan polis itu telah direman tiga hari bagi membantu siasatan kes dadah.

Dia ditahan di Balai Polis Mutiara Damansara pada Selasa lepas, ketika hadir untuk memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuat Farid Kamil.- Bernama

The post Anggota polis bantuan antara 29 ditahan kes culik pengurus appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Related

TERKINI 3683487228991510203

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item