ismakualaterengganu

Badan Peguam Malaysia mohon hakim bersara dengar kes

PUTRAJAYA, 29 Jamadilawal 1439H, Khamis – Badan Peguam Malaysia memohon panel Mahkamah Persekutuan dengan lebih ramai anggota terdiri dari...

PUTRAJAYA, 29 Jamadilawal 1439H, Khamis – Badan Peguam Malaysia memohon panel Mahkamah Persekutuan dengan lebih ramai anggota terdiri daripada hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang sudah bersara, untuk mendengar permohonannya mencabar keperlembagaan pelantikan dua hakim tertinggi negara.

Peguam Steven Thiru yang mewakili Badan Peguam Malaysia memberitahu pemberita, beliau akan mengemukakan permohonan rasmi minggu depan memohon hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang sudah bersara dilantik sebagai hakim tambahan untuk mendengar perkara itu.

Beliau berkata, Badan Peguam Malaysia memohon panel dengan sekurang-kurangnya sembilan anggota untuk mendengar perkara itu.

Kebiasaannya panel lima hakim akan bersidang di Mahkamah Persekutuan untuk mendengar kes.

“Kami memohon supaya Hakim Besar Malaya (Tan Sri Ahmad Ma’arop) dilantik sebagai hakim tambahan mengikut Perkara 122 (1A) untuk mendengar perkara itu dan bukan hanya panel hakim Mahkamah Persekutuan sedia ada untuk mendengarnya,” katanya sambil memaklumkan bahawa Badan Peguam Malaysia telah diminta mengemukakan permohonan secara rasmi.

Beliau berkata, Badan Peguam Malaysia telah menulis kepada Hakim Besar Malaya pada 21 Ogos tahun lalu berhubung perkara itu, tetapi tiada jawapan dan susulan itu telah menghantar surat peringatan awal tahun ini.

Steven yang dibantu peguam Farez Jinnah menghadiri prosiding pengurusan kes itu hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Jumirah Marzuki.

Turut hadir Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Terriruddin Mohd Salleh yang mewakili bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria; Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif; Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; dan kerajaan Malaysia, manakala peguam Ranbir Singh Sangha yang juga Presiden Persatuan Peguam Bela Sarawak (AAS) mewakili AAS.

Steven berkata, mahkamah itu pada awalnya menetapkan 2 Mac untuk mendengar permohonan Badan Peguam Malaysia bagi hakim bersara mendengar perkara itu, dan 14 Mac ditetapkan untuk mendengar permohonan Badan Peguam Malaysia bagi merujuk soalan berhubung Perlembagaan.

Beliau berkata, Badan Peguam Malaysia tidak mahu meletakkan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan dalam situasi yang memalukan.

Pada 19 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Badan Peguam Malaysia untuk merujuk lima soalan Perlembagaan berkaitan kesahan pelantikan Raus dan Zulkefli masing-masing sebagai hakim tambahan dan sebagai Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan, selepas mereka bersara wajib pada usia 66 tahun dan enam bulan.

Dalam saman pemula difailkan tahun lepas, Badan Peguam Malaysia memohon perisytiharan bahawa nasihat Arifin sebagai Ketua Hakim Negara pada ketika itu, kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Mac tahun lalu bagi Raus dan Zulkefli dilantik sebagai hakim tambahan mengikut Perkara 122(1A) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Badan Peguam Malaysia juga memohon perisytiharan bahawa pelantikan Raus dan Zulkefli, masing-masing sebagai Ketua Hakim Negara pada 4 Ogos tahun lalu dan Presiden Mahkamah Rayuan pada 28 September tahun lalu adalah tidak sah dan batal.

Awal tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuching merujukkan permohonan AAS mencabar pelantikan Raus dan Zukkefli di sisi undang-undang ke Mahkamah Persekutuan. – Bernama

The post Badan Peguam Malaysia mohon hakim bersara dengar kes appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Related

TERKINI 7570012838581111686

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item