Bahasa rojak dalam televisyen

PELBAGAI drama Melayu yang disiarkan di kaca televisyen tempatan kini membuktikan bahawa bahasa rojak merupakan suatu fenomena yang sukar dikawal di negara kita kerana drama meru-pakan cerminan hidup sebenar bagi masyarakat.

Begitulah realiti masyarakat di negara kita. Pengkarya-pengkarya hiburan tempatan sering menjadikan realiti kehidupan masa ini sebagai idea bagi menghasilkan sesuatu karya.

Drama Melayu seperti Suamiku Paling Sweet, Kenyalang I’m In Love, Menantu Second Class, Playboy di Mindaku, Urusan Hati Cik Drama Queen, Mencintaimu Mr. Photographer, Suri Hati Mr. Pilot, Abang Bomba I Love You dan pelbagai tajuk drama lain lagi membuktikan seolah-olah bahasa rojak merupakan suatu seni baharu yang menjadi kemestian dalam sistem hiburan di negara kita kerana begitulah sebenarnya realiti kehidupan kita. Drama ialah realiti kehidupan dan realiti kehidupan ialah drama.

Senarai tajuk drama di atas memang jelas membuktikan bahawa belakangan ini hiburan di negara kita tidak dapat lari daripada bahasa rojak. Hal ini belum dikira lagi dengan dialog yang dituturkan oleh pelakon dalam drama-drama berkenaan. Malah, dalam drama-drama lain yang tajuknya tidak menggunakan bahasa rojak pun terdapat banyak dialog yang menggunakan bahasa rojak.

Kita tidak dapat menafikan bahawa realiti sebenar masyarakat hari ini gemar menggunakan bahasa rojak dalam pertuturan harian. Ada dalam kalangan masyarakat yang menganggap bahawa dengan menggunakan bahasa lain daripada bahasa Melayu khususnya bahasa Inggeris akan menyebabkan seseorang itu dipandang sebagai seorang yang berstatus tinggi.

Kebolehan seseorang menggunakan bahasa Inggeris seolah-olah dianggap sebagai isyarat tersembunyi bahawa seseorang itu berpendidikan tinggi. Atas kepercayaan ini maka masyarakat kita menggunakan bahasa Inggeris yang diselang-selikan dengan bahasa Melayu (atau mungkin menggunakan bahasa Melayu yang diselang-selikan dengan bahasa Inggeris).

Kadang-kadang pengguna bahasa tidak sedar bahawa mereka telah menggunakan bahasa rojak dalam pertuturan harian lantaran banyak kosa kata dalam bahasa Inggeris yang sudah diterima dan difahami oleh sesiapa sahaja termasuk oleh mereka yang kurang berpendidikan, malah ada yang tidak sedar bahawa mereka telah menggunakan bahasa rojak.

Dalam konteks penghasilan drama yang menggunakan tajuk dan dialog dalam bahasa rojak, kita seharusnya sedar bahawa drama merupakan cerminan bagi realiti kehidupan sebenar masyarakat. Latar masyarakat yang ditonjolkan dalam drama memang benar-benar wujud dalam masyarakat kita.

Kebanyakan drama Melayu pada hari ini memaparkan latar masyarakat golongan pertengahan dan golongan atasan, malah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa belakangan ini, watak yang digambarkan dalam drama tempatan lebih berkisarkan golongan atasan.

Drama-drama Melayu yang diminati oleh masyarakat di negara kita belakangan ini seperti Titian Cinta, Lelaki Itu Pemilik Hatiku dan Kekasih Paksa Rela memaparkan lelaki kaya daripada kalangan tokoh korporat sebagai watak utama. Realitinya, latar masyarakat korporat dan berpendidikan tinggi memang menggunakan bahasa rojak dalam komunikasi mereka.

Hiburan amnya dan drama khasnya merupakan suatu unsur komersial dalam dunia hari ini bukan lagi untuk menghiburkan hati semata-mata. Apabila bersifat komersial, unsur-unsur yang menjadi daya penarik akan diketengahkan untuk menjadikan drama berkenaan menepati cita rasa khalayak penonton. Penonton hari ini gemar akan drama yang benar-benar nyata dalam kehidupan.

Kita tidak mungkin dapat menghalang fenomena bahasa rojak ini selagi pelbagai faktor seperti pendidikan dan pengaruh media massa berkembang.

Saya teringat sebuah peribahasa Inggeris yang bermaksud, jika anda tidak mampu mengubah tiupan angin, anda boleh mengubah layarnya. Kita sebagai pencinta bahasa Melayu harus menggembleng tenaga untuk memastikan bahasa Melayu terus gah di Malaysia, bumi tercinta ini.

Usaha memperkasakan bahasa Melayu harus dititikberatkan agar bahasa ini terus mampu memainkan peranan sebagai perpaduan di negara kita. Bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan di negara kita harus terus dipelihara dan dikekalkan sampai bila-bila.

Dirgahayu Bahasaku!

Munsyi Muhammad Daud
Munsyi Dewan Bahasa dan Pustaka

Peringatan: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak ada kena mengena dengan polisi dan dasar Ismaweb.net atau Media Isma Sdn Bhd. Artikel ini pertama kali disiarkan dalam Sinar Harian, hari ini (29 Jamadilawal 1439H).

The post Bahasa rojak dalam televisyen appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian