Beratus penumpang terkandas beberapa jam di Hentian Duta

KUALA LUMPUR, 30 Jamadilawal 1439H, Jumaat – Lebih 300 penumpang bas yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing sempena cuti Tahun Baharu Cina terkandas beberapa jam malam ini apabila bas yang ingin mereka naiki tidak muncul di Hentian Duta di sini seperti yang dijadualkan.

Ini dipercayai gara-gara pemandunya cuba mengelak daripada diperiksa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Pengurus Besar Kanan, Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, pemeriksaan di bawah Op Serkap mendapati kira-kira 10 bas tidak tiba pada waktu yang ditetapkan sejak 8 malam.

“Mereka mungkin ingin mengelak daripada diperiksa SPAD kerana dipercayai tidak mempunyai Lesen Perubahan Sementara (LPS) atau kesalahan lain,” katanya pada sidang media mengenai operasi itu di hentian berkenaan.

Che Hasni berkata, Op Serkap dari 9 hingga 25 Feb itu dilancarkan di semua terminal bas bagi memastikan keselamatan penumpang bas ekspres.

Katanya, setakat ini, SPAD telah mengeluarkan 146 saman bagi pelbagai kesalahan, selain menyita lima kenderaan, termasuk bas dan teksi.

Ketika dihubungi kemudian, Che Hasni berkata enam bas muncul selepas 11 malam. Pembantu di sebuah klinik pergigian di Jinjang, Suffi Liyana Subian, 24, berkata bas yang dijadual tiba pada 8.30 malam tidak muncul untuk membawanya pulang ke Sungai Petani, Kedah.

Penumpang itu berkata beliau membeli tiket bas berkenaan secara dalam talian dua hari lepas pada harga RM60 dan ini pertama kali beliau mengalami kejadian sedemikian. – Bernama

 

 

The post Beratus penumpang terkandas beberapa jam di Hentian Duta appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian