Bila syariat Islam disingkir…

 

Rentetan peristiwa pembatalan agama kanak-kanak Islam di Mahkamah Persekutuan tempoh hari, saya terbaca sebuah status yang ditulis bahawa “Mahkamah Syariah ini kalau tidak wujud di Malaysia pun tidak mengapa.” Sebelum itu dinyatakan juga bahawa ‘keadilan boleh dicapai jika manusia menggunakan akal dan conscience, tanpa melibatkan hukum agama pun.’

Pertama ialah sebagai umat Islam, kita perlu jelas tentang konsep keadilan yang sebenar. Hari ini ‘adil’ ditafsirkan dalam perspektif yang pelbagai.

Contohnya, melalui kaca mata kebebasan hak asasi manusia yang meraikan golongan minoriti (contoh LGBT), supaya mendapat hak dan keadilan yang sama, walaupun perkara tersebut bertentangan dengan agama.

Keadilan yang sebenar ialah keadilan yang berteraskan Islam. Kesyumulan dan keadilan Islam meliputi seluruh bangsa, kaum dan merentas zaman.

Islam sebagai panduan yang turunnya bukan daripada manusia, tetapi daripada Allah S.W.T yang menciptakan manusia. Mudah kata, tiada sesiapa yang lebih faham akan tabiat dan selok-belok fitrah manusia lebih daripadaNya.

Maka turun manhaj suci tersebut sebagai panduan terbaik yang selari dengan fitrah manusia.

Tetapi hari ini, kalaulah kita cuba menyingkirkan syariat Islam sebagai neraca timbang dalam membuat sesuatu keputusan, apatah lagi untuk menjatuhkan hukuman, maka apakah lagi neraca yang tinggal untuk kita pakai?

Mungkin akan dijawab, “dengan akal sahaja sudah cukup tanpa perlu melibatkan agama”, seperti yang dinyatakan diatas.

Hakikatnya, Islam sememangnya meraikan akal manusia, yang mana inilah juga kurniaan Allah S.W.T untuk membezakan manusia dengan makhluk yang lain. Tapi kita sering lupa bahawa kita adalah hamba Allah yang lemah dan sering memerlukan pertolonganNya. Akal yang dimiliki juga tidak lepas dari kebergantungan kepada Allah S.W.T.

Ada sesetengah perkara yang sukar dihadam akal, tetapi atas keimanan kita yang teguh, kita menerima perkara tersebut walaupun kerana kita yakin bahawa Allah sebaik-baik Pencipta dan memahami keperluan hambaNya.

Maka, mengikut akal semata-mata tanpa panduan yang benar pasti akan dipengaruhi oleh hawa nafsu.
Allah sebut dalam al-Quran tentang hawa nafsu dan kesannya tidak kurang dari 8 ayat.

وَلَوِ ٱتَّبَعَ ٱلۡحَقُّ أَهۡوَآءَهُمۡ لَفَسَدَتِ ٱلسَّمَـٰوَٲتُ وَٱلۡأَرۡضُ وَمَن فِيهِنَّ‌ۚ بَلۡ أَتَيۡنَـٰهُم بِذِڪۡرِهِمۡ فَهُمۡ عَن ذِكۡرِهِم مُّعۡرِضُونَ (٧١
Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya. (Al-Mukminiun : 71)

Kebergantungan kita hanyalah kepada Allah dan panduanNya adalah sebaik-baik panduan. Hari ini umat Islam tidak lagi memandang Islam sebagai solusi kepada segala masalah yang berlaku.

Seharusnya kita lebih faham dan yakin kerana kita telah melalui ataupun belajar daripada sejarah tentang siri-siri pengalaman umat-umat terdahulu yang hidup dengan sistem Islam dan akibat mengabaikannya.

Namun hari ini seolah-olah kita menjemput bencana kerana ingin menyingkirkan Islam daripada sisem kehidupan. Adapun kelemahan kita dalam melaksanakan sistem, itu memerlukan usaha sama dalam memperbaikinya. Bukan menyingkirkannya.

Akhirnya, apalah guna kita menimba ilmu jika tidak sedikitpun menambah rasa izzah kita terhadap Islam dan kecintaan kepada Allah S.W.T. Takut-takut ilmu tersebut akan menjadi fitnah dan memakan diri sendiri kerana perhitungan kita bukan terhenti di dunia sahaja, tetapi juga di akhirat sana.

Namun, saya yakin dan percaya kebenaran akan mengatasi kebatilan yang bagaikan retak menanti belah. Sama-sama kita memperjuangkannya sebagai bukti keimanan kita.

بَلۡ نَقۡذِفُ بِٱلۡحَقِّ عَلَى ٱلۡبَـٰطِلِ فَيَدۡمَغُهُ ۥ فَإِذَا هُوَ زَاهِقٌ۬‌ۚ وَلَكُمُ ٱلۡوَيۡلُ مِمَّا تَصِفُونَ (١٨)

Bahkan Kami sentiasa mengarahkan yang benar menentang yang salah, lalu dia menghancurkannya, maka dengan serta-merta hilang lenyaplah ia dan (tetaplah) kecelakaan akan menimpa kamu disebabkan apa yang kamu sifatkan (terhadap Kami). (Surah al-Anbiya : 18)

The post Bila syariat Islam disingkir… appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?