Cikgu! Kami Bukan Orang Senang. Ini Anak Jiran Kami….

 

 

CIKGU Sarifah memandang ke arah jendela rumahnya sambil menghela nafas yang panjang. Dia masih terkenangkan peristiwa di bilik guru semalam. Sebagai seorang guru yang telah berkhidmat puluhan tahun, telah banyak kisah suka duka pelajar yang mewarnai hidupnya.

Namun, kisah semalam begitu menyentuh jiwanya. Bergenang air matanya. Bisik hatinya: “Benarlah firman Allah SWT “…Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”

“Sebenarnya cikgu, ini bukan anak saya tapi anak jiran saya. Saya kasihan dia sudah lama tidak ke sekolah. Bapanya telah meninggal dunia dan ibunya pula sedang sakit, tambahan pula dia masih ada adik-adik kecil yang perlu dijaga ibunya cikgu.” Demikian penjelasan lelaki berusia sekitar empat puluh tahun yang ditemani isterinya.

Jelas kelihatan kesungguhan di wajah kedua suami isteri tersebut ingin melihat anak muda itu menyambung persekolahannya.

Cikgu Sarifah sebak melihat wajah pasangan tersebut. Dianggukkan kepalanya tanda bersetuju dengan mereka. Bayangkan apa yang bakal terjadi jika anak semuda 13 tahun itu dibiarkan bebas tanpa diberikan didikan dan ilmu. Tentu sahaja masa depannya akan rosak dan sia-sia.

Patutlah apabila diminta mengisi butiran pelajar, pasangan tersebut terdiam. Rupa-rupanya mereka hanya menjalankan tanggungjawab sebagai saudara seagama dan jiran yang baik. Sangkaannya mereka adalah ibu bapa kandung pelajar tersebut sepertimana kes-kes kebiasaan, rupanya meleset.

Pandangan mata Cikgu Sarifah berbalik kepada budak lelaki berpakaian lusuh itu.

“Abang atau kakak dia tak ada ke?”. Tiba-tiba soalan itu terkeluar dari mulut Cikgu Sarifah.

“Ada cikgu, dia ada dua abang dan seorang kakak, tetapi tak ada yang jadi orang,” si isteri menjawab.

“Ibunya sering mengadu kepada kami, anaknya yang nombor satu dan dua sering memukulnya, meminta wang, manakala yang ketiga pula penagih dadah.” jelas si isteri lagi.

Ibu pelajar ini begitu tertekan dengan kehidupannya sekarang sehingga beberapa kali berniat untuk melarikan diri dari rumah tersebut.

“Kami pun bukan orang senang cikgu, kami juga orang susah tetapi kami tidak mahu anak-anak kami jadi seperti kami juga,” tambah si suami.

“Encik kerja apa?”

“Saya tukang rumah cikgu, tetapi buat masa ini belum ada permintaan, isteri pula tidak bekerja.”

Tersentak hati Cikgu Sarifah, begitu mulianya hati pasangan ini. Mereka mempunyai tiga anak yang masing-masing sedang menuntut di universiti.

“Beginilah encik, esok encik tak perlulah datang ke sekolah, cuma perlu minta pelajar ini bawa dokumen sahaja.”

“Tak apalah cikgu, saya akan tolong sehingga pelajar ini selesai urusan pendaftarannya.”

Begitu tinggi pengorbanan pasangan tersebut yang juga hidup di dalam keadaan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Selama tiga hari berturut-turut pasangan tersebut berulang-alik ke sekolah membawa dokumen-dokumen dan buku maklumat pelajar yang diisi oleh ibu pelajar tersebut setelah berjaya dipujuk oleh mereka berdua.

Begitulah kisah yang diceritakan seorang guru yang prihatin dengan nasib para pelajarnya. Hasil daripada perbincangan dengan pihak sekolah, sebuah tabung khas ditubuhkan bagi mengurangkan bebanan pelajar-pelajar miskin di sekolah tersebut di samping bantuan rancangan makanan di kantin sekolah.

Bagi Cikgu Sarifah sendiri, kisah tersebut membuktikan bagaimana kerjaya sebagai guru boleh menyumbang kepada pengurangan bebanan sosial di dalam masyarakat. Guru-guru yang peka dengan masalah anak-anak murid bukan sahaja memberikan ilmu di sekolah tetapi juga menjadi ‘mata’ dan ‘telinga’ kepada segala permasalahan masyarakat.

Ini membuktikan betapa besarnya peranan seorang guru, menjangkaui batasan premis sekolah itu sendiri.

Cikgu Sarifah mengibaratkan sekolah sebagai ladang mencari bekalan untuk akhirat. Walaupun akur dengan jerih pedih kehidupan seorang guru, tetapi jika susuk tubuh seorang guru itu sentiasa berfikiran dan bersikap positif, suasana di sekelilingnya pasti akan berubah ke arah yang lebih baik.

Puan Sarifah bt Abu Bakar
Timbalan Pengerusi I-Guru Johor Bharu,

Dr Nur Farrah Nadia bt Najib
Ketua Biro Komunikasi & Media Isma Johor Bharu

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian