ismakualaterengganu

Dakwah dan tarbiyah sumber kekuatan siapkan PhD

KUALA LUMPUR, 13 Februari 2018 – “Alhamdulillah, terima kasih diucapkan kepada semua atas ucapan dan titipan doa serta nasihat yang diberika...

KUALA LUMPUR, 13 Februari 2018 – “Alhamdulillah, terima kasih diucapkan kepada semua atas ucapan dan titipan doa serta nasihat yang diberikan. Semoga semua yang didoakan kembali juga kepada yang mendoakan,” ujar Siti Nur Haslinda Mohd Daud yang menamatkan pengajian PhD beliau di Universiti Malaya dalam bidang Experimental Physics hari ini. Beliau berjaya menamatkan pengajian tersebut dalam tempoh tiga tahun setengah.

“Sungguh, perjalanan dunia pascsiswazah ini bukan sesuatu yang mudah. Jatuh bangun yang entah berapa kali dengan pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi saban hari. Perancangan yang kadang-kadang tidak membuahkan hasil yang dijangkakan,” ulasnya lagi.

“Ditambah pula dengan kesibukan menguruskan rumahtangga dan anak. Menulis hasil kajian untuk tujuan penerbitan sambil memangku anak itu perkara biasa. Berjaga malam sampai tidak tidur hingga ke subuh semata-mata hendak siapkan tesis itu seolah-olah telah menjadi suatu rutin. Itulah pengorbanan yang harus dilakukan demi sebuah PhD,” luah beliau yang melahirkan seorang cahaya mata pada semester ke-5 pengajian.

Beliau turut berkongsi bahawa penglibatan aktif dalam aktiviti dakwah dan tarbiyah menjadi antara sumber kekuatan utama sepanjang mengharungi tempoh pengajian tersebut. Beliau bergerak aktif dan terlibat secara langsung menjalankan program pembangunan remaja bersama Kelab Remaja Isma (KRIM) Kuala Lumpur.

“Kekuatan inilah yang sebenarnya memacu diri untuk terus berjalan dalam dunia pascasiswazah. Pengorbanan dalam jalan dakwah dan tarbiyah inilah asbab pertolongan datang dari Allah. Selain daripada keberkatan doa ibu dan ayah, sokongan juga datang daripada sahabat-sahabat Isma, suami dan anak. Si kecil Mujahid inilah yang berjuang bersama sejak dari dalam kandungan. Inilah sistem sokongan yang terbaik buat saya,” ujar Siti.

Beliau turut menyatakan kepentingan untuk memasang impian yang boleh berperanan sebagai motivasi selagi ianya diiringi usaha dan tawakal. “Tidak salah memasang impian. Impian juga tidak mustahil untuk direalisasikan selagi mana ada usaha untuk menggerakkan, ada kekuatan hati untuk menghadapi cabaran dan ada jiwa yang sentiasa yakin dengan pertolongan Tuhan,” kata beliau mengakhiri temubual.

Barisan jawatankuasa Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Kuala Lumpur mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada saudari Siti Nur Haslinda. Semoga kejayaan beliau akan menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat.

 

 

 

Sumber

Related

TERKINI 3888321341072090751

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item