Datuk hadapi 118 pertuduhan pindah wang, invois palsu

KUALA LUMPUR, 5 Jamadilakhir 1439H, Rabu – Seorang pengarah syarikat pembekal perkhidmatan barang elektrik dan kelengkapan rumah bergelar Datuk, didakwa di tiga Mahkamah Sesyen di sini, atas 43 pertuduhan membabitkan pemindahan wang berjumlah RM16.5 juta dan 75 pertuduhan memberikan invois palsu berjumlah RM20.7 juta, tiga tahun lepas.

Datuk K Jayakumar, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa secara berasingan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail, Hakim Azura Alwi dan Hakim Madihah Harullah.

Jayakumar dituduh atas 43 tuduhan memindahkan wang berjumlah RM16.5 juta daripada Maybank SMT Rezeki Sdn Bhd ke akaun Maybank milik Sinar Mentari Technology Sdn Bhd yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan 13/48A, Sentul Raya Boulevard, Sentul, di sini, antara Mei 2015 dan Januari 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan dibaca bersama Seksyen 87(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta atau mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi 75 pertuduhan memberi invois palsu, dia didakwa memberi dokumen Invois TTD Solutions Sdn Bhd berjumlah RM20.7 juta yang mengandungi butiran palsu mengenai pembekalan pakej dua model telefon pintar kepada ejen yang mempunyai kepentingan bertujuan mengelirukan prinsipal ejen berkenaan sehingga mendorong Koperasi Telekom Malaysia Berhad (Kotamas) membuat pembayaran tersebut.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Kotamas, Wisma Kotamas, Jalan Datuk Haji Eusoff, Kompleks Damai, di sini, antara Jun dan Disember 2015.

Pendakwaan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau silap itu jika butir matan yang palsu atau silap itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurdihana Rosdi, menawarkan jaminan RM5 juta, berserta syarat tambahan dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah selain perlu melapor diri di pejabat SPRM, dengan mengambil kira faktor keseriusan kes dan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM30.7 juta

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Datuk K.Kumaraendran memohon mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM150,000 atas alasan anak guamnya mempunyai tiga anak dan seorang isteri.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM600,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM pada setiap bulan sehingga kes selesai dan menetapkan 15 Mac untuk sebutan semula kes. – Bernama

The post Datuk hadapi 118 pertuduhan pindah wang, invois palsu appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian