Dua lelaki dakwa badan panas, pengsan selepas minum kopi

GEORGE TOWN, 15 Jamadilawal 1439H, Khamis – Dua pengawal keselamatan yang menjadi mangsa selepas minum sejenis kopi pracampuran bukan sahaja mengalami gejala letih serta lemah yang teruk malah tidak sedarkan diri selepas meminum minuman berkenaan pada Selasa.

Dua lelaki warga Nepal itu yang bertugas di sebuah bangunan komersial di Pulau Tikus, di sini mendakwa seorang rakan wanita yang bekerja di premis yang sama memberikan kopi berkenaan kepada mereka.

Sapkota Mangal Prasad, 45, berkata, dia dan rakannya Bishnu Shrestna, 41, tidak pernah minum minuman kopi pracampuran 4 dalam 1 perisa durian itu sebelum ini dan mencubanya selepas diberikan wanita berkenaan kira-kira pukul 9.30 pagi Selasa.

“Kami ambil kopi itu dan terus membancuhnya sebelum meminumnya, tidak sampai lima minit selepas minum air kopi berkenaan saya rasa badan sangat panas, loya dan kepala terus sakit.

“Saya juga meronta-ronta seperti kena sawan sebelum tidak sedarkan diri dan hanya sedar ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP),” katanya kepada pemberita selepas menerima lawatan Konsul Jeneral Nepal di Pulau Pinang, Datuk Huan Cheng Guan di HPP di sini hari ini.

Sapkota yang bekerja di Pulau Pinang sejak empat tahun lepas dan fasih berbahasa Malaysia berkata, mereka bernasib baik kerana gejala yang dialami itu tidak mengancam nyawa dan semakin pulih sekarang ini.

Rakannya, Bishnu berkata, semasa kejadian, terdapat empat pegawal keselamatan sedang bertugas namun hanya dia dan Sapkota sahaja yang minum air kopi itu sebelum mengalami gejala berkenaan.

“Saya rasa mahu muntah tapi tidak muntah dan memang terus rasa letih serta macam hendak pengsan lepas minum air kopi itu, waktu itu hanya ingat keluarga di Nepal dan mati saja,” katanya.

Dia mengucapkan terima kasih kepada rakan sekerja yang terus membawa mereka ke HPP sejurus kejadian itu kerana jika lambat, mungkin keadaan mereka akan lebih teruk.

Sementara itu Huan berkata beliau dimaklumkan keadaan kesihatan dua lelaki warga Nepal berkenaan semakin baik dan kemungkinan akan dibenarkan keluar daripada HPP dalam masa terdekat.

Huan berharap Kementerian Kesihatan dapat menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu dan mendedahkan hasil siasatan sama ada kopi berkenaan mengandungi bahan kimia terlarang atau sebaliknya.

“Pihak Konsul Jeneral Nepal akan memantau keadaan dua pengawal keselamatan dan setakat ini saya tengok keadaan mereka semakin baik serta sudah boleh bercakap berbanding sebelum ini,” katanya.

Tinjauan Bernama di George Town beberapa mendapati pasar raya yang menjual kopi pracampuran itu telah menghentikan penjualan kopi berkenaan dan bungkusannya juga sudah tiada di rak barangan selepas kejadian yang menimpa dua pengawal keselamatan tersebut menjadi tular di laman sosial facebook.

Lima individu termasuk dua wanita telah mendapatkan rawatan di HPP selepas mengalami gejala letih dan lemah yang teruk selepas dipercayai minum sejenis kopi sejak Ahad hingga Selasa.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr Wan Mansor Hamzah dilaporkan berkata semua mereka berusia 19 hingga 62 tahun itu ditahan di wad untuk pemerhatian dan beberapa ujian namun tiga daripadanya dibenarkan keluar wad selepas keadaan mereka bertambah baik.

Beliau berkata, ujian ke atas semua pesakit serta sampel kopi berkenaan masih dijalankan dan pihaknya akan mengumumkan hasil ujian tersebut selepas mendapat keputusannya.- Bernama

The post Dua lelaki dakwa badan panas, pengsan selepas minum kopi appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian