Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar beroperasi hingga akhir tahun

SEPANG, 2 Jamadilakhir 1439H, Ahad – Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar, Bangladesh bagi misi bantuan kemanusiaan Rohingya yang memulakan operasi pada 1 Disember lepas akan diteruskan sehingga akhir tahun ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata, sehubungan itu Kementerian Kesihatan akan mengadakan perbincangan bagi merancang semula penghantaran warga kerjanya untuk bertugas di Hospital Medan Malaysia secara berperingkat sehingga akhir tahun.

“Perancangan yang dibuat sebelum ini adalah untuk tiga bulan sahaja. Jadi apabila operasi Hospital Medan Malaysia dilanjutkan sehingga hujung tahun maka perbincangan dan perancangan baharu perlu dibuat,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan kepulangan 41 orang petugas pasukan ketiga Hospital Medan Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Laporan sebelum ini menyebut mandat operasi Hospital Medan Malaysia yang diselaraskan Kementerian Kesihatan dengan sokongan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Luar dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu adalah selama tiga bulan dan berakhir pada Jumaat (16 Februari).

Selepas tiga bulan, keputusan sama ada untuk meneruskan operasi Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar bergantung kepada laporan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

​​​​​​​Mengulas mengenai operasi Hospital Medan Malaysia bagi tempoh 1 Disember 2017 hingga 14 Disember baru-baru ini, Dr Hilmi berkata, seramai 6,578 pesakit dirawat, 218 pesakit menjalani pembedahan dan 31 kelahiran dikendalikan.

Dalam tempoh tersebut, seramai 144 petugas Kementerian Kesihatan dihantar ke Hospital Medan Malaysia, Cox’s Bazar secara giliran di mana pertukaran doktor pakar dibuat setiap dua minggu, sebulan bagi petugas paramedik dan tiga bulan bagi petugas logistik.

Jelas beliau, pada masa ini Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar tidak ditutup dan sembilan petugas logistik Kementerian Kesihatan sedang menjaga dan mengawasi peralatan perubatan di sana.

Pasukan petugas keempat akan dihantar selepas perbincangan diadakan, katanya lagi.

“Pada satu-satu masa perlu ada 50 petugas Kementerian Kesihatan yang bertugas di Hospital Medan Malaysia. Mereka terdiri daripada pakar-pakar perubatan dalam pelbagai bidang seperti pakar bedah, anestesia, obstetrik dan ginekologi, pediatrik dan psikiatri, tambah beliau.

​​​​​​​”Petugas lain ialah pegawai perubatan, pegawai farmasi, jururawat, penolong pegawai perubatan, penolong pegawai kesihatan persekitaran, juru X-ray, juruteknologi makmal dan anggota logistik,” katanya lagi.

Tambah Dr Hilmi, pengalaman merancang, menubuhkan dan beroperasi di Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar Bangladesh amat berharga kepada warga kerja Kementerian Kesihatan Malaysia yang terlibat.

Krisis kemanusiaan di wilayah Rakhine di Myanmar bertambah meruncing sejak Ogos tahun lepas apabila ramai pelarian Rohingya memasuki Bangladesh setiap hari, menyebabkan banyak khemah pelarian didirikan.

Malaysia merupakan negara pertama yang menghantar bantuan kemanusiaan ke Bangladesh pada 9 September lalu selepas lebih 650,000 pelarian Rohingya melarikan diri dari barat Myanmar akibat operasi tentera pada 25 Ogos tahun lepas.

Sehingga kini, jumlah sebenar pelarian Rohingya tidak dapat disahkan tetapi ramai yang mendakwa terdapat lebih satu juta pelarian Rohingya di Cox’s Bazar.- Bernama

The post Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar beroperasi hingga akhir tahun appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian