Isma Hulu Langat Menang Mudah dalam Perlawanan Persahabatan Bola Tampar

BANGI, 4 Februari – Satu perlawanan persahabatan bola tampar lelaki telah berlangsung di antara pasukan Ikatan Muslimin Malaysia cawangan Hulu Langat (Isma DHL) sebagai tuan rumah menentang pasukan Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Seremban (Isma Seremban).

Perlawanan yang berlangsung di gelanggang bola tampar German-Malaysian Institute (GMI) telah dihadiri seramai 45 orang pemain dari kedua-dua belah pihak bermula jam 7.30 pagi hingga jam 10 pagi.

Yang Dipertua Isma DHL, Mohd Noor Azib Asmangi, berkata bahawa sikap bersungguh-sungguh bukan hanya perlu diterapkan dalam berdakwah semata-mata akan tetapi turut diaplikasikan dalam permainan.

“Kita beriadah sebagai salah satu tuntutan Islam supaya dapat membentuk badan yang sihat untuk kita melaksanakan kerja-kerja dakwah di jalan Allah”, ujar beliau.

Pertembungan sengit antara 2 cawangan ini telah berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Isma DHL untuk kesemua kategori pasukan, A, B dan C.

Menurut ketua kontinjen pasukan Isma DHL, Tn Hj Mohd Nor Sazelim Mohamad, kemenangan ini hanyalah sebahagian daripada kekuatan yang ditonjolkan oleh pasukan dan ianya menjadi pemangkin untuk menjuarai perlawanan yang seterusnya.

“Kami akan terus berusaha keras bagi menundukkan pasukan-pasukan dari cawangan lain, yang akan ditentukan kemudian”, tegas beliau.

Turut hadir adalah Yang Dipertua Isma Seremban, Mohd Norhelmi Jamil, ketua kontinjen Isma Seremban, Tn Hj Zaim Shaari dan wakil daripada pasukan Port Dickson.

Elemen sukan yang dipaparkan dan diterapkan sebagai satu medium dakwah dan kesihatan adalah selari dengan hasrat ISMA yang ingin mengajak masyarakat agar mengamalkan Islam sebagai cara hidup yang unggul dan sempurna dalam kehidupan seharian.

 

Yusre Zulhamize Zainuddin

Wartawan Isma DHL

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian