Jangan pertikai peranan, fungsi Jakim: Persatuan ulama

KUALA LUMPUR, 18 Jamadilawal 1439H, Ahad – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mempunyai peranan yang amat penting khususnya dalam menyelaraskan hal ehwal Islam di negara ini, kata Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir.

Sambil menggesa orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan tindakan sesetengah pihak yang mempertikaikan kewujudan Jakim, beliau berkata perbuatan mereka hanyalah untuk menyekat perkembangan Islam di Malaysia.

“Dalam apa juga keadaan, janganlah ada pihak yang terlibat bersekongkol dengan mereka yang berusaha menyekat perkembangan Islam dan cahayanya. Jakim adalah badan yang sangat relevan kewujudannya di Malaysia.

“Justeru, ia mesti dipertahan dan diperkasakan demi kedaulatan negara tercinta,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya,  Jakim, yang bermula sebagai sebuah unit agama di Jabatan Perdana Menteri, sememangnya berperanan besar menegakkan syiar Islam dan dilihat berjaya mengekang fahaman dan ajaran sesat selain memperkasa kefahaman umat Islam berlandaskan wasatiyyah.

“Fungsi Jakim signifikan dalam membantu Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama bagi Persekutuan, dan bekerjasama bersama Sultan di negeri-negeri yang merupakan Ketua Agama di negeri masing-masing dalam setiap masa memelihara agama Islam dan berdiri tetap atas pemerintahan yang adil dan aman di Malaysia.

“Jakim terbukti berperanan dengan baik khususnya menjalankan fungsi merapatkan hubungan Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri (JAIN) bagi menyelaraskan urusan agama,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Jakim berjaya menyelaraskan hal ehwal Islam di Malaysia termasuk bidang pendidikan Islam, penyelarasan pensijilan halal, perkembangan dasar serta program dakwah serta lain-lain bidang yang melibatkan kepentingan umat Islam.

Syeikh Abdul Halim berkata Jakim juga berjaya menyerlahkan imej Malaysia di pentas dunia dalam bidang Al Quran seperti penganjuran Majlis Tilawah Al Quran setiap tahun dan menubuhkan institusi Darul Quran JAKIM.

Beliau juga menyarankan kerajaan supaya menambah peruntukan bagi membolehkan Jakim memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan selaras dengan penubuhannya yang menepati semangat Perkara 3, Perkara 12(2), Perkara 121(1A) dan Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 37(1) Perlembagaan Persekutuan.

The post Jangan pertikai peranan, fungsi Jakim: Persatuan ulama appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian