Kempen undi rosak tak selesaikan masalah: Zainul Rijal

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 16 Jamadilawal 1439H, Jumaat –  Pilihan raya adalah medan terbaik untuk rakyat menzahirkan ekspresi kepada parti politik dan arah tuju negara seperti yang mereka mahukan, kata pengamal undang-undang, Datuk Zainul Rijal Abu bakar.

Mengakui tidak semua undi akan berpihak kepada yang menang, namun sekurang-kurangnya akan memberi gambaran kepada masyarakat umum hala tuju negara.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) itu berkata, pilihan raya memberi ruang dan peluang kepada rakyat menzahirkan kemahuan mereka.

Sehubungan itu, beliau berkata, usaha anak muda yang enggan mengundi dan melancarkan kempen undi rosak, tidak akan menyelesaikan sebarang masalah.

“Apakah dengan tidak mengundi akan menyelesaikan kemelut permasalahan yang mereka hadapi? Walaupun sebahagian tidak mengundi, namun pilihan raya tetap diadakan dan akan ada parti yang menang dan kalah.

“Orang yang tidak mengundi dan tidak bertanding tidak langsung berpeluang menjadi kerajaan mentadbir negara dengan baik. Dalam sistem demokrasi, hanya mereka yang bertanding dan menang sahaja boleh menjadi wakil rakyat memperjuangkan hak rakyat.

“Walaupun politik bukanlah segala-galanya tetapi ia sedikit sebanyak akan mengemudi bahtera negara semasa badai melanda,” katanya menulis dalam Sinar Harian, hari ini.

Selain itu, beliau mengharapkan kerajaan yang menang pilihan raya kelak akan mempertahan keluhuran Perlembagaan dengan memartabatkan jati diri negara.

Semua itu katanya perlu berpaksikan kepada Islam Melayu dan Raja-Raja sebagaimana termaktub  dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Namun tidak bermakna orang bukan Islam dan bukan Melayu perlu didiskriminasikan sehingga menzalimi mereka.

“Perlembagaan Persekutuan sendiri memberi jaminan hak yang sah golongan minoriti dijaga. Inilah resipi keamanan negara yang selama ini kita kecapi,”katanya.

Serentak itu beliau menasihatkan pemimpin parti politik, peraih undi atau pengundi untuk bermuhasabah agar tidak terjerumus kepada fitnah-memfitnah serta mencerca dalam bersaing mendapatkan undi.

Katanya, untuk mencapai kemenangan perlulah bersaing dengan cara yang sihat.

“Biarlah pengundi mendapat manfaat daripada undian mereka dan hormatilah hak pengundi mengundi dengan informasi yang betul bukan berdasarkan fitnah adu domba,” katanya.

The post Kempen undi rosak tak selesaikan masalah: Zainul Rijal appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian