Kenyataan iPeguam Berhubung Keputusan Mahkamah Persekutuan Yang Menolak Permohonan Empat Individu Muslim Untuk Keluar Islam

iPeguam ingin merakamkan setinggi kesyukuran di atas keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang telah sebulat suara menolak permohonan 4 orang pemohon untuk keluar dari agama Islam.

Kesemua lima orang hakim, dipengerusikan oleh YAA Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin bersama-sama YAA Tan Sri Ahmad Maarop, YA Tan Sri Hasan Lah, YA Tan Sri Ramly Ali, YA Tan Sri Jeffrey Tan telah sebulat suara menolak rayuan keempat-empat pemohon tanpa kos.

iPeguam berpendapat bahawa Yang Arif para hakim di atas telah membuat satu keputusan yang mencerminkan semangat sebenar peruntukan di dalam Perlembagaan Malaysia, khususnya fasal 3 yang menegaskan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan.

Pada waktu yang sama, iPeguam juga ingin menarik perhatian kepada beberapa perkara, seperti berikut:

Pertama, amalan memeluk Islam hanya untuk tujuan perkahwinan. Dalam bersikap positif terhadap pengislaman seseorang itu, umat Islam perlu bersikap serius dan bersungguh-sungguh dalam mendalami dan memahami ajaran Islam, memberikan contoh ikutan terbaik dalam penghayatan Islam terhadap anggota keluarga dan masyarakat umum, supaya peribadi Muslim yang benar dapat berakar umbi dan mendarah daging dalam diri setiap Muslim, sama ada yang sudah lama memeluk Islam mahupun yang baru menjadi seorang Muslim.

Kedua, fenomena murtad bukanlah sesuatu yang harus diarusperdanakan sebagai satu perterjemahan kepada agenda hak asasi, kebebasan berugama ataupun perlindungan undang-undang kepada merekla yang memilih untuk keluar dari ugama Islam. Masyarakat Islam seringkali didedahkan dengan pelbagai usaha untuk memurtadkan umat Islam, baik melalui dakyah para Evangelis dan seumpamanya yang tidak pernah berputus asa.

Ketiga, wujudnya kesepakatan yang dibanggakan bilamana umat islam dari pelbagai latarbelakang, NGO Islam, institusi Islam, parti-parti politik Islam dan masyarakat Islam khususnya untuk bersepakat di dalam urusan yang melibatkan kepentingan dan kedaulatan Islam di Malaysia. Ini merupakan langkah yang sangat dialu-alukan dan iPeguam menaruh harapan tinggi bahawa kerjasama seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan, merentasi batas-batas politik kepartian dan pertubuhan-pertubuhan Islam yang beraneka objektif perjuangan.

Keempat, keperkasaan dan penambahbaikan pada institusi kehakiman Syari’ah dan institusi yang berkait rapat dengan sistem keadilan Islam. Meskipun kita akui terdapat beberapa sudut kelemahan dan kekurangan yang boleh dan perlu diperbaiki, kita tidak boleh leka atau berpuashati dengan keadaan sedia ada. Setiap pihak yang terlibat di dalam institusi ini perlu memiliki kesedaran dan semangat yang berkobar-kobar untuk menjadikan kerjaya mereka sebagai satu sumbangan yang sangat besar kepada kejayaan dan kedaulatan Islam di negara ini, dan bukan lagi berpada sebagai seorang kakitangan yang biasa-biasa sahaja.

Ini penting kerana antara imej pertama yang masyarakat lihat untuk menilai Islam adalah pada institusi-institusi ini dan semua pihak yang terlibat di dalamnya.

Kelima, keputusan yang me”menang”kan Islam atau umat Islam akan sentiasa dipertikaikan dan dikecam. Sikap dan pendirian seperti ini lazimnya akan dilihat pada kumpulan anti-Islam/Muslim yang sentiasa tidak akan berpuashati di dalam hampir semua isu yang melibatkan urusan Islam dan umatnya. iPeguam suka mengingatkan masyarakat Islam supaya tidak menjadikan kumpulan-kumpulan ini sebagai contoh tauladan, ikutan atau rakan seperjuangan yang boleh dipercayai.

Keenam, iPeguam ingin mengucapkan setinggi tahniah dan syabas kepada barisan peguam yang bijaksana yang telah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan begitu cemerlang sekali untuk mempastikan kedudukan dan kedaulatan Islam tetap terpelihara dan dipertahankan ke peringkat yang paling tinggi dalam sistem perundangan negara.

Sebagai kesimpulan, iPeguam menyeru umat Islam supaya melafazkan kesyukuran di atas keputusan yang amat bermakna ini dan pada waktu yang sama mencari jalan supaya kesepakatan di kalangan umat dapat diperkuatkan lagi demi kedaulatan dan kestabilan hidup bermasyarakat.

 

 

Muhammad Luttfi Abdul Khalid
Pengerusi Ikatan Peguam Muslim Malaysia
(iPeguam).

 

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?