Luruskan dan Rapatkan Saf!

‘Solat adalah tiang agama. Andai goyahnya tiang itu maka runtuhlah keseluruhannya.’ Kata-kata ini sering kali diperdengarkan dan tidak asing lagi daripada hawa telinga kita.

Masyarakat muslim umumnya sangat mengutamakan Solat lima waktu sehari semalam. Malah, tuntutan Rukun Islam yang kedua ini jelas kepentingannya terhadap pembentukan iman dan taqwa seseorang insan. Mengutamakan solat dalam apa jua keadaan adalah sangat mustahak bagi individu muslim yang kuat ruhinya.

‘Solat adalah tiang Agama’. Namun cukup kukuhkah bangunan itu didirikan berpaksi tiang semata-mata?

Andai solat itu tiangnya, maka solat berjemaah itu ibarat batu-bata yang mengelilingi dan memenuhi ruang antara satu tiang ke tiang yang lainnya. Serta, ikatan ukhwah antara jemaah itu sendiri akan menjadi simen yang menguatkan lagi susunan batu-bata itu tadi.

Daripada Abdullah bin Umar r.a., katanya, Rasulullah.s.a.w. telah bersabda, “Betulkan, penuhkan dan rapatkan saf-saf solat kamu, samakan kedudukan antara bahu-bahu kamu, penuhkan semua ruangan-ruangan kosong yang terdapat dalam saf, bersopan santunlah dengan saudara-saudara kamu ketika meluruskan dan merapatkan saf dan jangan sekali-kali membiarkan ruangan-ruangan kosong saf terdedah kepada syaitan. Sesiapa yang memenuhkan saf dan merapatkannya, nescaya Allah swt menyambungkan rahmat-Nya bagi orang tersebut dan sesiapa yang memutuskan saf, nescaya Allah swt akan memutuskan rahmat-Nya dan inayah-Nya daripada orang tersebut” [HR Abu Daud].

Cuba kita lihat kembali sirah perjuangan terdahulu, disebalik kemenangan tentera Sultan Al-Fateh, terdapatnya ketua dan para pejuang yang amat menitik beratkan hal solat berjemaah. Begitu juga dengan rombongan Salahuddin Al-Ayubi dan Tentera Al Qassam di Palestin, mereka semua adalah daripada golongan yang sentiasa menjaga solat berjemaah.

Ternyata, mereka yang terikat hatinya dengan Allah SWT akan mendapat bantuan Allah dan memiliki kekuatan yang tidak dimiliki oleh orang lain. Sungguh, perjuangan Islam ini tidak akan sesekali didokong oleh golongan yang munafik.

Apabila berbicara tentang golongan munafik, hati ini pernah terdetik persoalan ‘Adakah aku di antara golongan munafik ini?’. Amatlah risau jika kita termasuk dalam golongan ini kerana ia hanya akan merugikan diri kita sendiri. Maka persoalan demi persoalan yang lain turut menerpa. ‘Apakah yang dimaksudkan dengan golongan munafik ini? Apakah ciri-cirinya ada pada diri kita tanpa kita sedar?’

Hadis riwayat Muslim di atas menceritakan tentang betapa golongan munafik pada zaman Rasulullah SAW merasa amat berat untuk mengerjakan solat jemaah pada waktu malam, iaitu pada waktu solat Subuh dan solat Isyak. Hal ini kerana, solat Subuh dan solat Isyak perlu ditunaikan pada waktu gelap dan tindak tanduk mereka tidak dapat diperlihatkan kepada orang lain.

Justeru dapat kita lihat, di antara ciri-ciri golongan munafik ini adalah suka bermuka-muka dan menunjuk-nunjuk amalan mereka di hadapan orang lain. Apabila diseru untuk keluar berperang, golongan munafik ini kerap berdalih dengan seribu satu alasan. Hati mereka menjadi malas dan takutkan mati.

Jadi, adakah golongan yang lidahnya menuturkan keimanan namun hati berdalih daripada kebenaran ini, yang diharapkan untuk memperjuangkan agama Islam? Sama sekali tidak!

Oleh itu, sedarlah wahai bangsaku yang sedang lena, janganlah kita termasuk daripada golongan munafik ini. Perlu diingatkan, cabaran utama anak muda zaman kini bukan sahaja hasutan dari luar, tetapi juga dari dalam selimut mereka sendiri. Maka bangunlah anak muda, bangunlah dan lemparkan helaian selimutmu. Bangun dan terus bermujahadah menapak kaki-kakimu ditangga masjid. Dirikan safmu dengan ikhlas saat imam melaungkan ajakan “luruskan dan rapatkan saf!” dan takbir diangkat “Allahu Akbar!”

 

 

 

 

 

 

SS Ustaz Zamri Bin Hashim
Yang Di-Pertua ISMA Ipoh
Timbalan Mufti Negeri Perak

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian