Majlis Keselamatan PBB lulus gencatan senjata 30 hari di Syria

NEW YORK, 9 Jamadilakhir 1439H, Ahad – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) akhirnya meluluskan resolusi menggesa dilaksanakan gencatan senjata 30 hari di seluruh Syria, semalam.

Gencatan senjata itu membolehkan bantuan kemanusiaan dan perubatan dihantar ke kawasan terjejas teruk akibat perang saudara, yang turut membabitkan sekutu kuat rejim Presiden Bashar Al-Assad, Russia.

Terdahulu, 15 anggota Majlis Keselamatan PBB menangguhkan pengundian deraf resolusi yang disediakan Kuwait dan Sweden berikutan keengganan Moscow, menyokongnya. Russia adalah antara negara yang memiliki kuasa veto.

Bagaimanapun, Moscow akhirnya bersetuju selepas perubahan dibuat pada deraf berkenaan dengan tidak memasukkan militan IS, al-Qaeda dan Nusra Front.

Beberapa percubaan gencatan senjata sebelum ini hanya bertahan beberapa hari di wilayah konflik yang menyebabkan ribuan rakyat Syria terbunuh, dan lebih 11 juta lagi meninggalkan kediaman mereka.

Namun, tatkala pengundian gencatan senjata itu sedang berlangsung, Ghouta yang terletak di pinggir Damsyik dan menjadi tumpuan terkini perang saudara itu, terus dibedil. Dengan pesawat Russia dan militan yang disokong Iran, tentera rejim Assad terus menyerang Ghouta yang dikepung sejak 2013 lalu.

Pasukan penyelamat di Ghouta berkata, pengeboman berterusan menghalang mereka daripada menjalankan misi mencari mangsa yang terbunuh dan tertimbus dalam runtuhan bangunan.

Bagi tujuh hari berturut-turut pesawat rejim Syria dibantu Russia mengebom Ghouta, menyebabkan angka kematian di kalangan orang awam, terutama kanak-kanak meningkat melebihi 500 orang. – Agensi

The post Majlis Keselamatan PBB lulus gencatan senjata 30 hari di Syria appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian