Manila tidak terlibat dalam isu tuntutan ke atas Sabah

KOTA KINABALU, 24 Jamadilawal 1439H, Sabtu – Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Alan Peter Schramm Cayetano telah menjelaskan bahawa Manila tidak terlibat dalam kenyataan mengenai isu berkaitan tuntutan ke atas Sabah.

Beliau berkata, semasa Pemukiman Menteri Luar ASEAN di Singapura baru-baru ini, beliau tidak membangkitkan perkara mengenai tuntutan ke atas Sabah sambil berkata tuntutan itu tidak pernah diiktiraf oleh Malaysia dan kerajaan negeri Sabah.

Tetapi beliau berkata, Cayetano telah menemuinya untuk menjelaskan bahawa ‘kerana politik, ada seseorang yang cuba mempromosikan dirinya’ dan menambah Setiausaha Luar Filipina itu tidak menyebut sebarang nama.

“Beliau (Cayetano) berkata Malaysia dan Filipina menjalin hubungan dua hala yang baik, jadi kami tidak mahu satu kenyataan mengeruhkan hubungan kami.

“Saya hanya mengucapkan terima kasih dan kami sangat menghargai penjelasan itu,” kata beliau ketika ditemui pemberita pada program bersama masyarakat Cina di kawasan Parlimen Kimanis di sini malam ini.

Bulan lepas, anggota Jawatankuasa Perundingan Filipina, Aquilino Pimentel Jr, yang dilantik untuk mengkaji Perlembagaan Filipina 1987 berkata, beliau akan mencadangkan kemasukan Sabah dalam Filipina sebagai sebahagian daripada peralihan negara itu ke sistem kerajaan persekutuan.

Anifah juga berkata, butiran mengenai hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 sedang dibincangkan dengan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

“Terdapat perbincangan mengenai beberapa butiran dan kami merujuk mengenai hasil yang boleh dicapai.

“Ia adalah proses yang berterusan…tetapi ia amat menggalakkan (dengan Peguam Negara), jadi saya meminta supaya kita dapat mengemukakan sesuatu kepada Perdana Menteri dan kabinet menjelang akhir bulan ini,” kata beliau.

Semasa Perhimpunan Agung UMNO pada Disember tahun lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan bersedia untuk memberi balik hak-hak Sabah dan Sarawak yang mungkin terambil pada masa lepas seperti dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.- Bernama

The post Manila tidak terlibat dalam isu tuntutan ke atas Sabah appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian